BREAKING NEWS

Monday, 3 July 2017

Sikap Degil Punca Kemalangan Maut di Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE)

PERMATANG PAUH 2 Julai – Biar­pun pelbagai langkah diambil oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bagi menangani kes kemalangan melibatkan penunggang motosikal di Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE), namun kejadian itu tetap berlaku.

Lebuh raya sepanjang 20 kilometer itu seolah-olah menjadi ‘laluan maut’ kepada penunggang motosikal terutama yang ingkar untuk menggunakan lorong yang telah dikhaskan.


Dari Januari hingga Mei lalu sahaja, sebanyak 100 kemala­ngan berlaku melibatkan tiga penunggang motosikal maut yang menyamai jumlah kematian sepanjang tahun lalu daripada 373 kemalangan.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan PLUS, hilang kawalan menjadi punca utama kemalangan melibatkan motosikal di BKE pada 2016 iaitu 31 peratus diikuti oleh menunggang laju, 19 peratus.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Mohammad Fuad Khusairi ber­kata, punca lain kemalangan di BKE adalah langgar belakang (13 peratus), melanggar kenderaan berhenti di lorong kecemasan (13 peratus) dan mengantuk (tujuh peratus).

“Jika dilihat daripada statistik yang diterima, hilang kawalan dan menunggang dengan laju menjadi antara punca utama kemalangan yang berlaku melibatkan motosikal di BKE tahun lalu.

“Selain itu, keengganan penunggang motosikal menggunakan laluan yang dikhaskan juga menyumbang kepada kemalangan sehingga berlaku kemalangan maut,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tambah Mohammad Fuad, pihaknya sendiri telah melak­sanakan beberapa penambahbaikan berdasarkan Audit Ke­selamatan Jalan Raya di BKE pada 2016 yang dijalankan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Jelasnya, antara langkah yang diambil adalah pemasangan papan tanda amaran, membaik pulih turapan lorong motosikal, pemasangan lampu solar di pondok berte­duh, membaik pulih penutup longkang, menambah baik penghadang jalan dan pemasangan tiang fleksibel.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Superintenden S. Manogaran berkata, pihaknya juga sentiasa memantau kegiatan merempit yang se­ring menjadikan BKE sebagai ‘litar lumba’ mereka.

Katanya, pada tahun lalu, sebanyak 58 motosikal disita dan 169 saman dikeluarkan dalam operasi yang dijalankan di BKE manakala pada tahun ini dari Januari hingga Mei, sebanyak 48 motosikal disita dan 55 saman dikeluarkan.
 
Copyright © 2014 PenangKini.