BREAKING NEWS

Sunday, 30 July 2017

Terima kasih Dr Mahathir, era anda sudah berlalu


Wanita Umno perlu berani menjelaskan kepada rakyat Langkawi bahawa zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pemimpin sudah berlalu, kata Ketua Pergerakan Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Beliau berkata, hanya kepimpinan parti itu yang sekarang diterajui Datuk Seri Najib Razak selaku presiden yang dapat meneruskan pembangunan yang diasaskan oleh Dr Mahathir di pulau ini.
“Kepada Tun Mahathir, kita berterima kasih (kerana membawa pembangunan ke Langkawi).
“Namun hidup perlu diteruskan. Jangan takut untuk mengatakan ini (kepada rakyat Langkawi),” katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Langkawi di sini.
Menurutnya Dr Mahathir yang kini bersama-sama pakatan beberapa parti pembangkang sebenarnya hanyalah menjadi umpan untuk meraih sokongan orang Melayu yang merangkumi kira-kira 90 peratus daripada jumlah pengundi di Langkawi.

“Suka tak suka tapi itulah hakikatnya… kalau pangkah (memilih untuk menyokong) Tun Mahathir samalah seperti memilih DAP untuk menjadi kerajaan,” katanya.
Shahrizat berkata, tidak mustahil bagi Barisan Nasional untuk mengulangi kejayaan cemerlang semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dengan memenangi kerusi Parlimen Langkawi dan 2 kerusi Dewan Undangan Negeri di pulau ini.
Menurutnya, apa yang penting adalah kesetiaan dan disiplin anggota-anggota Umno untuk meneruskan kerjasama menggunakan strategi berkesan dalam pilihan raya umum akan datang.
“Sebelum PRU13 pun dikatakan kita menghadapi cabaran hebat di Langkawi tetapi akhirnya kita menang dengan majoriti yang besar di Langkawi,” katanya.
Beliau berkata persediaan menghadapi PRU14 bagi Wanita Umno sudah memasuki pusingan terakhir dan setiap anggota perlu memastikan jentera mereka sudah berjalan dengan baik untuk pilihan raya ini.

 
Copyright © 2014 PenangKini.