BREAKING NEWS

Monday, 24 July 2017

Tiada simpati PAS buat PKR

Bukan saja Permatang Pauh, PAS juga tidak teragak-agak meletakkan calon di kerusi lain yang dilihat berpotensi, termasuk kawasan kini dikuasai DAP.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata di Permatang Pauh sendiri parti itu tidak akan 'memberi muka' sama sekali kepada PKR.

Katanya PAS kini secara rasmi tidak lagi ada menjalin sebarang hubungan dengan PKR dan tiada masalah mencabar parti pembangkang lain walaupun terpaksa menghadapi saingai tiga penjuru.

“PAS tidak terikat dengan sesiapa sekarang, jadi kita bebas dan terserah untuk kita bertan­ding di mana dan ba­nyak mana kawasan. Kita lawan tetap lawan, menang kalah, itu perkara lain" katanya dipetik Utusan Online di Kota Bharu.

PAS melancarkan jentera pilihan rayanya di Permatang Pauh pada 16 Julai lalu dengan dirasmikan seorang lagi naib presiden parti itu, Idris Ahmad.

Sekali 39 tahun dulu

Permatang Pauh adalah kerusi yang signifikan kepada PKR kerana ia pernah diwakili pemimpin utama mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia kini diwakili isteri Anwar yang juga ketua pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Perkembangan itu mendorong Naib Presiden PKR Tian Chua mengeluarkan kenyataan menganggap PAS melakukan provokasi, angkuh serta tidak membantu usaha menewaskan BN.

"Sikap ini bercanggah dengan kenyataan pemimpin PAS yang menganggap mereka masih sebahagian daripada pembangkang yang ingin mengalahkan Umno-BN," katanya.

Untuk rekod kerusi Permatang Pauh adalah kubu kuat Umno sehinggalah Anwar dipecat Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998.

Pada pilihan raya umum (PRU) kesembilan yang diadakan pada 2004 PKR kalah di semua kerusi kecuali Permatang Pauh.

PAS pula memang pernah memenangi kerusi berkenaan, tetapi hanya sekali dan berlaku pada PRU kelima, 39 tahun silam.

Mohd Amar berkata sebelum PKR wujud kerusi Permatang Pauh memang ditandingi PAS.

Katanya, PAS juga sedang meneliti kerusi lain yang dimiliki DAP untuk dinilai sebelum diletakkan calon untuk PRU ke-14.

1.9K6
 
Copyright © 2014 PenangKini.