BREAKING NEWS

Thursday, 6 July 2017

Tiada syarat baharu pengusaha makanan di institusi pendidikan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan tidak akan memperkenalkan syarat baharu bagi membolehkan kontraktor makanan menjalankan aktiviti perniagaan institusi di bawah kementerian tersebut, kata timbalan menterinya Datuk P Kamalanathan.
Menurutnya, syarat yang ditetapkan kementerian kepada mana-mana kontraktor makanan akan dikekalkan seperti mana sedia ada, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) institusi tersebut.
“Kita kekalkan apa yang ada sekarang,” katanya ketika ditanya sama ada akan diperkenalkan peraturan baharu susulan isu kontraktor makanan Politeknik Seberang Perai (PSP) disingkirkan kerana gagal mematuhi terma yang ditetapkan.
Pada 27 Jun, PSP didakwa mengarahkan satu-satunya pengusaha gerai makanan bukan Islam di kantin kampus itu menghentikan operasi kerana tidak “patuh syariah” sehingga menjadi tular di media sosial.
Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan menafikan dakwaan tersebut apabila menjelaskan kontraktor makanan India itu disingkirkan atas sebab “pentadbiran” kerana gagal mematuhi syarat yang ditetapkan pihak pengurusan.
Tiga peniaga Melayu lain turut ditamatkan kontrak atas sebab yang sama.
Ditanya mengenai dakwaan pengusaha kontraktor yang disingkirkan, Kamalanathan berkata pihaknya menyerahkan kepada PSP menyelesaikan isu itu.
 
Copyright © 2014 PenangKini.