BREAKING NEWS

Wednesday, 26 July 2017

Tuduh Parlimen Mahu Sembunyi Isu 1MDB : Dap Patut Cermin Sidang DUN Sendiri

PULAU PINANG, 26 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Datuk Sr. Muhamad Farid Saad berkata, sebelum pembangkang menuduh Parlimen sengaja menyembunyikan keterangan mengenai isu 1MDB, adalah lebih baik mereka cermin dulu Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
Jelas beliau, pembangkang mungkin lupa bagaimana Sidang DUN negeri itu menolak usul yang pernah di bawa oleh wakil Barisan Nasional (BN) yang meminta Ketua Menteri Lim Guan Eng bercuti berikutan kes rasuah yang dihadapinya.
“Jadi, sebelum pembangkang mahu mempolitikkan sidang Parlimen maka adalah lebih baik mereka ingat dan cermin dulu bagaimana mereka jalankan sidang DUN.
“Slogan Cekap , Akauntibiliti dan Telus (CAT) yang diwar-warkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai asas kepada dasar pentadbiran sebenarnya sudah dianggap mati. Mereka sibuk tuding jari kepada pihak lain tetapi mereka tidak nampak  betapa mereka sebenarnya berat sebelah,” ujarnya
Tambah Farid, kerajaan negeri Pulau Pinang juga sebelum terus mempertikaikan isu 1MDB, mereka perlu menjawab persoalan berkaitan status 51 buah projek yang pernah dibangkitkan dahulu.
“Dulu saya pernah tanya status 51 buah projek yang dicadangkan kerajaan Dap Pulau Pinang di beberapa kawasan ne­geri ini untuk manfaat rakyat tetapi gagal dilaksanakan sejak 2008 sehingga tahun lalu.
“Sehingga kini masih tidak berjawab dan kerajaan ne­geri perlu menjelaskan pengurusan perbelanjaan yang dikatakan melibatkan kos berbilion ringgit.
“Rakyat mahu tahu apa cerita projek Aerobus yang menghubungkan bahagian pulau dan Seberang Prai pada 2008 melibatkan pemaju dari Amerika Syarikat (AS) yang didakwa dimasukkan dalam rancangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), projek kereta api bawah tanah, sistem monorel merentasi pulau dan tanah besar dan pembinaan tasik buaya,” katanya lagi.
Selain itu tambah Farid, kerajaan negeri juga perlu menjelaskan status projek membanteras tempat letak kereta haram, mengekalkan surcaj air serta mewartakan kawasan perlindungan hutan Pulau Jerejak tetapi ketiga-tiga projek ini masih gagal dilaksanakan.
“Jika saya mahu jelaskan di sini, terlalu panjang tetapi kesimpulannya Dap tidak perlu sibuk terus kitar semula isu 1MDB kerana negeri jajahan mereka sendiri tunggang-langgang dan soalan demi soalan yang dilemparkan masih tidak mampu dijawab,” bidasnya.
Semalam, sesi soal jawab pada hari pertama sidang Dewan Rakyat  kecoh selepas beberapa anggota Parlimen pembangkang mempertikaikan keputusan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menolak pertanyaan mereka berkenaan isu 1MDB.
Menurut Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat  Datuk Seri Ismail Mohamed Said, penolakan pertanyaan soal jawab lisan itu pada sesi Dewan Rakyat kali ini, antara lain adalah disebabkan faktor subjudis.
Ismail berkata keputusan penolakan itu dibuat Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan ia adalah muktamad mengikut Peraturan Mesyuarat 99


 
Copyright © 2014 PenangKini.