BREAKING NEWS

Monday, 24 July 2017

Zahid nafi 1.5 juta pekerja Bangladesh kerja di Malaysia

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menjelaskan 1.5 juta pekerja warga Bangladesh sebenarnya berdaftar dengan kerajaan mereka untuk bekerja di luar negara dan bukannya ke Malaysia semata-mata.

Timbalan perdana menteri berkata jumlah sebenar kemasukan warga Bangladesh ke Malaysia bergantung kepada keperluan syarikat-syarikat tempatan.

“Tidak ada satu-satu syarikat yang dilantik untuk membawa mana-mana mereka masuk. Melalui sistem atas talian, majikan memohon untuk mendapatkan pekerja berkenaan secara terus tanpa melalui ejen atau mana-mana syarikat," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) yang ingin tahu maklumat terperinci syarikat manakah yang membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh ke dalam negara, pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menafikan laporan dokumentari media asing yang disiarkan baru-baru ini mendakwa kononnya berjuta-juta pekerja asing tanpa dokumen bekerja di negara ini.

Katanya hasil siasatan terhadap program itu mendapati rakaman telah dilakukan enam bulan lepas dan disiarkan secara bersiri.

Beliau berkata masalah itu tidak timbul lagi setelah kerajaan mengadakan permohonan secara dalam talian bagi pendaftaran pekerja asing, katanya ketika menjawab soalan tambahan Dr Wan Azizah mengenai laporan media asing itu.

-Bernama
 
Copyright © 2014 PenangKini.