BREAKING NEWS

Monday, 14 August 2017

21 didakwa ahli Geng 04


DUA PULUH SATU lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown, hari ini, atas tuduhan menjadi anggota kumpulan jenayah terancang 'Geng 04 India Pulau Pinang' sejak 2015 hingga Julai tahun ini.

Semua mereka berusia 17 hingga 57 tahun itu mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Norsalha Hamzah. Seorang daripada anggota kumpulan itu berusia 47 tahun didakwa di Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana sedang menerima rawatan dipercayai menghidap sawan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh yang dipercayai menjadi ahli kumpulan jenayah terancang geng berkenaan dalam daerah Timur Laut sejak 1 Januari 2015 hingga 29 Julai tahun ini.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Subseksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Norsalha menetapkan 14 September depan sebagai sebutan semula kes dan semua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin dan Muhammad Fadzlan Mohd Noor manakala hanya 12 tertuduh diwakili peguam.-Harian metro
 
Copyright © 2014 PenangKini.