BREAKING NEWS

Monday, 14 August 2017

90 peratus calon Gerakan Pulau Pinang muka baharu

PULAU PINANG 13 Ogos – Hampir 90 peratus calon parti Gerakan negeri ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah muka baharu yang belum pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini.

Perkara itu disahkan Pengerusi Gerakan ne­geri, Teng Chang Yeow (gambar) yang menambah, keputusan tersebut sejajar dengan usaha parti membawa perubahan sebenar dalam landskap politik negeri ini selepas pilihan raya umum akan datang.


Menurut beliau, kesemua calon itu juga sudah dikenal pasti dan akan dimuktamadkan selepas mendapat kebenaran daripada Gerakan Pusat.

“Sebahagian besar calon ini juga adalah golongan muda yang selama ini begitu agresif mendekati pengundi dan menjadi suara rakyat dalam menyuarakan kepincangan pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri ditemui pemberita selepas Persidangan Perwakilan Gerakan negeri di sini hari ini yang dirasmikan Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Sementara itu, ketika berucap dalam persidangan tersebut, Chang Yeow berkata, Gerakan berada pada landasan yang tepat untuk mendapatkan semula keyakinan penduduk negeri ini pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, perkara itu bukan disebabkan politik kotor terma­suk fitnah seperti yang dimainkan pembangkang, tetapi kerana kelemahan pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang sendiri yang semakin hari semakin jelas kelihatan oleh rakyat.
 
Copyright © 2014 PenangKini.