BREAKING NEWS

Tuesday, 15 August 2017

Adakah Kilang Haram Lebih Berharga Dari Nyawa Rakyat Pulau Pinang?

KUALA LUMPUR - Apakah Kerajaan Negeri Pulau Pinang lebih sayangkan kilang haram daripada keselamatan dan kesihatan awam, demikian persoalan yang diutarakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhung isu serbuan kilang haram di negeri terbabit baru – baru ini.
Beliau, dalam kenyataan berkata, kerajaan negeri yang kononnya menggunapakai slogan kompeten, akauntabel dan telus memerlukan masa sehingga Sembilan tahun untuk mencari penyelesaian sebuah kilang haram yang boleh memudaratkan rakyat.
“Semalam, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil tindakan memberhentikan operasi kilang haram berkenaan. Agak pelik kenapa tindakan serupa tidak diambil sebelum ini?
“Timbul persoalan, apakah sebelum ini ada sekatan atau campur tangan daripada pihak Kerajaan Negeri yang menghalang JAS mengambil tindakan menutup operasi kilang haram memproses habuk kayu tersebut?
“Saya ingin nasihatkan Ketua Menteri Pulau Pinang supaya lebih tegas dan lebih berani untuk mengambil tindakan ke atas kilang-kilang haram yang masih wujud di seluruh Pulau Pinang terutamanya yang membahayakan dan mengancam keselamatan dan kesihatan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Zainal Abidin, Guan Eng dilaporkan berkata Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak boleh mengambil tindakan ke atas kilang haram yang dibina di atas tanah persendirian, namun ianya bercanggah dengan jawapan Exco negeri itu, Chow Kon Yeow kepada satu soalan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Keduabelas.
Jelasnya, dalam jawapan tersebut, Chow menyatakan Kerajaan Negeri melalui MPPP dan MPSP telah mengambil tindakan ke atas kilang-kilang haram atas tanah persendirian, di bawah Seksyen 72, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dengan mengeluarkan notis kepada pemilik untuk meroboh bangunan haram tersebut; manakala untuk kilang-kilang atas tanah Kerajaan, tindakan akan diambil oleh Pejabat Daerah dan Tanah melalui notis di bawah Seksyen 425 dan 426A, Kanun Tanah Negara.
Sementara itu, Guan Eng berkata menjadi dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk tidak mengambil tindakan terhadap semua bangunan, rumah ibadat atau penjaja yang beroperasi secara haram dan wujud sebelum 2008 kecuali jika ia mengganggu orang awam dan aliran trafik sehingga satu penyelesaian dapat dicapai.
“Merujuk kepada kes kilang haram memproses habuk kayu di Sungai Lembu, bukankah terdapat banyak aduan daripada rakyat dan penduduk di berdekatan terhadap kilang haram tersebut yang mengancam kesihatan dan menganggu-gugat keselamatan mereka, malahan aduan juga telah dibawa oleh ADUN PKR-Penanti ke Sidang DUN Pulau Pinang?,” soalnya.
Tegas Zainal Abidin lagi, Guan Eng dan Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk menutup kilang-kilang haram dan tidak perlu melibatkan Barisan Nasional dalam sebarang tindakan diambil Kerajaan Negeri bagi membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sekarang kompeten, akauntabel dan telus dan tidak takut.
Malah, kerajaan Pulau Pinang pernah melakukan hal yang sama sebelum ini termasuk di kawasan DUN Penanti, di mana kerajaan negeri melalu MPSP pernah mengambil tindakan meroboh dan memberhentikan operasi dua buah kilang haram, iaitu kilang pengeluar bumbung zink di Jalan Tanah Liat dan kilang memproses timah di Kubang Ulu.
Beliau dalam pada itu turut memberi peringatan kepada Guan Eng untuk menghentikan tabiatnya yang terlalu banyak berpolitik dalam mengurus tadbir dan perlaksanaan dasar-dasar Kerajaan Negeri.
“Jangan hipokrit dan jangan terus membohongi Rakyat Pulau Pinang kerana sudah lebih Sembilan tahun DAP jadi Kerajaan Negeri di Pulau Pinang.  Jika tidak mampu bawa perubahan, amat elok sekiranya rakyat Pulau Pinang sekali mengubah Kerajaan Negeri untuk menyelamatkan Pulau Pinang,” ujarnya. 
 
Copyright © 2014 PenangKini.