BREAKING NEWS

Monday, 7 August 2017

Akhirnya Guan Eng mengaku – Abdul Rahman

Pengarah Komuni­­kasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerana akhirnya mengakui pengurangan hutang negeri itu sehingga 95 peratus adalah disebabkan oleh bantuan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan pimpinan DAP itu tidak menerima bantuan Kerajaan Persekutuan menerusi pelaksanaan penstrukturan air dan rasionalisasi hutang pada 2011, sudah tentu hutang Pulau Pinang tidak dapat dikurangkan sehingga 95 peratus malah akan turut berganda menjadi 300 peratus daripada nilai asalnya.
Malah, katanya, rakyat Pulau Pinang selama ini diberikan gambaran kononnya pengurangan hutang negeri itu adalah disebabkan oleh ‘kehebatan’ Ketua Menteri itu.


“Bagai satu kelaziman buat Guan Eng untuk melakukan serangan peribadi dan menggelar orang lain dengan pelbagai nama apabila tidak mampu menjawab sesuatu yang tidak boleh dinafikan iaitu pengurangan hutang Pulau Pinang adalah berikutan bantuan Kerajaan Persekutuan dan bukannya prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) mereka mahupun pengurangan gejala rasuah sebagaimana didakwanya.

“Saya berterima kasih kepada Guan Eng kerana akhirnya mengesahkan fakta ini melalui kenyataan dikeluarkan dua hari lalu dan memperbetulkan segala maklumat. Sama seperti dakwaan mengarut kononnya Kerajaan BN Pulau Pinang sebelum ini telah menjual tanah pada harga RM1 sekaki persegi yang mana parti Gerakan sudah menyaman Guan Eng kerana memfitnah.

“Parti DAP sudah terlalu lama dibiarkan dengan pembohongan mengenai pengurangan hutang negeri sehingga 95 peratus ini. Saya amat berbesar hati kerana akhirnya kebenaran keluar dari mulut Guan Eng sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, Guan Eng juga perlu mengakui prinsip CAT yang diperjuangkan itu, gagal mengurangkan perbelanjaan operasi tahunan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Katanya, bukannya keberkesanan atau efisien, malah rakyat Pulau Pinang didepani perbelanjaan operasi kerajaan negeri meningkat tinggi sehingga 500 peratus sejak DAP mengambil alih pentadbiran negeri itu pada 2008.

“Jadi, DAP seharusnya mengakui, bagi menampung peningkatan yang tidak terkawal untuk perbelanjaan di negeri itu, kerajaan Pulau Pinang perlu menjual atau memperdagangkan tanah dan aset negeri bernilai berpuluh bilion ringgit.

“Saya amat yakin rakyat Pulau Pinang juga bersetuju dengan saya bahawa menjual atau memperdagangkan aset kerajaan negeri bagi menampung perbelanjaan kerajaan negeri adalah sesuatu yang tidak mampan dan petunjuk kepada tadbir urus kerajaan yang tidak baik,” katanya.


Utusan
 
Copyright © 2014 PenangKini.