BREAKING NEWS

Tuesday, 8 August 2017

Anak Tak Sah Taraf: Undang-Undang Dalam Enakmen Keluarga Islam Negeri-Negeri Tidak Dipedulikan? – CEO IKSIM

Putrajaya – Keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini telah mencetuskan perdebatan dan tidak kurang pula kekeliruan di kalangan umat Islam apabila memutuskan Jabatan Pendaftaran Negara tidak terikat dengan fatwa. Isu ini mendapat respons dan reaksi daripada pelbagai pihak.

Wartawan Menara.my telah menemuramah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Dato’ Prof Mahamad Naser bin Disa berkenaan polemik yang timbul ini. Bercakap kepada wartawan Menara.my, beliau menegaskan bahawa keputusan tersebut seolah-olah menunjukkan Mahkamah Rayuan khilaf kerana tidak mengambil kira peruntukan undang-undang syariah yang terpakai khusus untuk orang Islam di negara ini. Beliau merujuk kepada enakmen-enakmen keluarga Islam yang diwartakan secara sah melalui Dewan Undangan Negeri mengikut Perlembagaan Negeri masing-masing. Kebanyakan negeri telah memperuntukkannya dalam Seksyen 111 Enakmen Keluarga Islam, sama seperti peruntukan Negeri Perlis.

 Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Perlis menyatakan seperti berikut: Jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seseorang lelaki melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh, dengan cara li’an atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan mahkamah. Peruntukan yang sama berkuat kuasa di semua negeri di seluruh negara.

Hanya Terengganu, Sarawak dan Wilayah pada seksyen yang berbeza tetapi maksud dan prinsip yang sama iaitu – Siapakah yang dikaitkan sebagai bapa. “Justeru Seksyen 13 (A) 2 dan Fatwa Mufti Perlis atas isu ini yang digazetkan pada 2009, pada hakikatnya bercanggah dengan Enakmen Keluarga Islam yang merupakan undang-undang yang digunapakai kepada setiap orang Islam. BDRA (Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian) 1957 hanyalah akta berkenaan prosedur, manakala Enakmen Keluarga Islam yang diluluskan secara sah menurut Perlembagaan ialah undang-undang asas (substantive law). Mahkamah Rayuan perlu membuat keputusan bersandarkan kepada substantive law dan bukan hanya procedural law,” tegas Dato’ Prof Mahamad Naser.

Ketika diajukan pertanyaan mengapa Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili Jabatan Pendaftaran tidak mengemukakan seksyen-seksyen berkenaan kepada Mahkamah Rayuan, Dato’ Prof Mahamad Naser menjelaskan bahawa, kemungkinan semua pihak terbawa-bawa dengan hujahan berdasarkan fatwa sedangkan undang-undang dalam enakmen lebih kuat daripada fatwa kerana ia undang-undang yang berdaulat. Seksyen 13A(2) tidak boleh digunakan ke atas umat Islam kerana Parlimen tidak berhak meluluskan undang-undang peribadi orang Islam. Perlembagaan telah menetapkan bidang kuasa tersebut untuk Dewan Undangan Negeri. Bahkan, semua negeri sudah mempunyai prinsip yang jelas mengenai siapa yang boleh diiktiraf sebagai bapa. Oleh itu, undang-undang berkaitan prosedur pendaftaran perlulah menghormati undang-undang negeri yang berdaulat. Beliau yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Peguam Kanan Persekutuan dan mempunyai pengalaman selama 25 tahun di Jabatan Peguam Negara turut menggesa semua pihak supaya mematuhi Perlembagaan dan semua undang-undang sedia ada agar tiada polemik timbul yang boleh mengakibatkan keharmonian hidup beragama di Malaysia terjejas.




MENARA.MY
 
Copyright © 2014 PenangKini.