BREAKING NEWS

Tuesday, 29 August 2017

Analisis 'tsunami Melayu' DAP ketinggalan zaman

Analisis pemimpin DAP Ong Kian Ming mengenai ‘tsunami Melayu” adalah tidak tepat dan jauh tersasar, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Katanya, analisis Ahli Parlimen Serdang itu mudah dengan hanya bersandarkan kepada keadaan yang berlaku pada isu yang berlaku tahun 1999 dan 2008 dan juga andaian setiap kali UMNO berpecah akan menyebabkan orang Melayu menolak BN, lalu menyokong pembangkang.

“Ini dapat dilihat dalam PRU 1999 apabila peralihan undi Melayu berlaku sebanyak 27%. Dalam PRU 2008 pula, BN hilang majoriti 2/3 apabila 6% lagi pengundi Melayu beralih menyokong pembangkang.

“Tahun 1999, negara baru diserang krisis kewangan dan ada isu mata lebam. PRU14 isu tahun 1999 dan 2008 sudah jauh kita tinggalkan.

“Benarkah andaian Ong Kian Ming tersebut? Hasil semakan saya kepada data lepas mendapati analisis Kian Ming tersasar dari fakta sebenar,” kata beliau yang juga bendahari UMNO dalam tulisan disiarkan menerusi blognya hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas analisis Kian Ming yang mendakwa kemungkinan peralihan sokongan pengundi Melayu berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurut analisis itu lagi, akan berlaku 15% peralihan undi Melayu kepada Pakatan Harapan (PH) seperti mana yang berlaku pada 1999 dan 2008.

Salleh turut membidas analisis itu dengan menggariskan lima faktor anak muda akan menyokong BN dalam PRU14.

“Dalam analisis ini, jika mahu bersandarkan kepada hujah UMNO berpecah maka Melayu akan mengalih sokongan kepada pembangkang, itu adalah generalisasi,” katanya.

Salleh yang turut merujuk kepada keputusan pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar berkata, meskipun UMNO berpecah, parti pembangkang masih tidak mampu menumbangkan BN.

“Tambahan pula, parti pembangkang kini mempunyai pecahan parti Melayunya sendiri seperti PAN yang lahir hasil perpecahannya dengan PAS.

“PPBM dan PAN juga adalah parti baharu yang masih tidak mendapat sokongan meluas. Politiking pembangkang yang terlalu banyak juga menyebabkan rakyat bosan kerana rakyat mahu terus bergerak ke depan membangun Malaysia yang maju dan sejahtera,” katanya.

Semalam, Kian Ming mendedahkan statistik sokongan daripada tiga komuniti utama di Semenanjung bagi BN, menunjukkan sebarang perpecahan dalam UMNO mungkin akan menyebabkan lebih ramai orang Melayu akan menolak gabungan pemerintah.

Melihat arah aliran sokongan orang Melayu, Cina dan India, beliau berkata dengan sokongan Cina dan India kepada BN menurun dalam dua pilihan raya umum lalu iaitu 2008 dan 2013, kunci kepada sebarang harapan untuk PH menang PRU14 terletak di tangan pengundi Melayu.

Beliau juga turut merujuk kepada kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat pada tahun 1998, sebagai timbalan perdana menteri sebelum didakwa berhubung kes meliwat dan penyalahgunaan kuasa.

Tindakan itu mengakibatkan ramai penyokongnya meninggalkan UMNO untuk memulakan PKR bersama isteri beliau Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
 
Copyright © 2014 PenangKini.