BREAKING NEWS

Wednesday, 30 August 2017

‘Andai Tun Razak masih bernafas, pastinya kecewa melihat negara’

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Raja Azlan Shah mendakwa sekiranya bekas perdana menteri ke-2, Tun Abdul Razak Hussein masih hidup, beliau pasti kecewa dengan senario Malaysia sekarang.

Sultan Nazrin berkata terdapat 4 sebab yang boleh mendukacitakan bapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, antaranya perpaduan negara yang kian merosot.
Katanya, parti politik cenderung “menyalakan” isu perkauman dan agama dalam keghairahan mereka meraih sokongan.

“Masa depan negara bergantung kepada satu perkara penting iaitu perpaduan rakyat berbilang bangsa,” tegas Sultan Nazrin, memetik wawasan Razak.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran buku “Fulfilling A Legacy – Tun Abdul Razak” di Hotel Shangri-La hari ini.

Selain daripada permainan isu perkauman dan agama, Sultan Nazrin juga berkata kaedah pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan semakin gagal memenuhi matlamat menjadikan sekolah sebagai taman asuhan menyatu padukan negara.

“Dasar Pelajaran Kebangsaan menurut yang terkandung di dalam Penyata Razak menggariskan peranan penting sekolah untuk memupuk perpaduan warga melalui aliran pengajiran kebangsaan.
“Generasi muda daripada pelbagai kaum pada hari ini, yang melalui pelbagai aliran persekolahan, tidak akan mempunyai peluang untuk berinteraksi dan saling mengenali antara satu sama lain, di sebaliknya mereka membesar secara berasingan dalam kelompok kaum masing-masing.”
Sultan Nazrin turut menyentuh mengenai mengenai pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang tergelincir daripada landasan sebenar terutama penyalahgunaan peluang pembahagian kekayaan.
“Hingga mengakibatkan berlaku ketirisan pegangan ekonomi Bumiputera secara besar-besaran, bukan sahaja mencetuskan salah faham kaum, kemarahan turut disuarakan dalam kalangan Bumiputera.”

DEB merupakan program sosioekonomi yang diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia ke-3 (1976-1980) untuk merapatkan jurang perbezaan ekonomi dan sosial kaum di Malaysia akibat dasar pecah dan perintah British.
Dasar Pelajaran Kebangsaan merupakan mekanisme untuk melahirkan masyarakat bersatupadu dan berdisiplin.

Bagaimanapun, Razak pasti berdukacita melihat senario rasuah dan integriti dalam negara hari ini, kata Sultan Nazrin.
“Akan luluhlah hati Tun Abdul Razak, mengikuti pendedahan demi pendedahan, tangkapan demi tangkapan kerana perbuatan rasuah yang berlaku secara besar-besaran, melibatkan penjawat tinggi dan individu terpelajar dengan amaun yang banyak, yang amat mencalar nama baik negara bangsa.”
Razak yang menjadi perdana menteri pada 22 September 1970 hingga 14 januari 1976, meninggal dunia pada usia 53 tahun.
Pelancaran buku 158 halaman itu sempena ulangtahun ke-40 Yayasan Tun Razak.

 
Copyright © 2014 PenangKini.