BREAKING NEWS

Friday, 25 August 2017

Arab Saudi pilih Malaysia untuk projek perintis prapelepasan jemaah haji

Arab Saudi memilih Malaysia sebagai negara pertama menjayakan projek perintis prapelepasan jemaah haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mengecualikan jemaah daripada perlu melalui pemeriksaan pasport dan kastam setiba di Jeddah dan Madinah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata projek antara kedua-dua kerajaan ini akan dilancarkan Timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi tujuh penerbangan terakhir membawa jemaah negara pada musim haji tahun ini, bermula hari ini hingga Ahad.

“Apabila jemaah haji kita sampai di Jeddah dan Madinah, mereka akan terus keluar dari lapangan terbang tanpa perlu menjalani pemeriksaan pasport dan kastam.

“Kita harap, dengan kerjasama kerajaan Arab Saudi, mungkin projek ini juga dapat diteruskan untuk jemaah haji akan datang dan juga umrah tahun ini. Projek perintis ini merupakan satu pengiktirafan kepada Malaysia,” katanya.

Najib yang juga presiden Umno berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibunegara semalam.


Turut hadir, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Bendahari Umno Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Ketua Penerangan Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pergerakan Wanita Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Jemaah haji Malaysia yang kesemuanya berjumlah 30,200 orang tahun ini, bertolak secara berperingkat ke Tanah Suci bermula 24 Julai lepas dan mereka dijadual pulang ke tanah air mulai 7 Sept hingga 4 Oktober.

- Bernama
 
Copyright © 2014 PenangKini.