BREAKING NEWS

Friday, 25 August 2017

Atasi sesak di Jambatan Pulau Pinang

BAYAN BARU - Kerajaan persekutuan perlu mengambil langkah alternatif dengan segera untuk menyelesaikan masalah kesesakan trafik di sekitar negeri ini akibat daripada kerja-kerja penyelenggaraan kabel di Jambatan Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, kesesakan jalan itu bukan sahaja berlaku di atas jambatan, malah turut melibatkan kawasan pulau.


“Jalan raya pun jadi sesak sungguhpun tak ada kaitan dengan jambatan kerana keadaan kereta yang banyak.

“Itulah yang jadi masalah sekarang dan kita harap kerajaan persekutuan dapat ambil langkah-langkah sewajarnya” katanya.

Menurutnya, penduduk yang menetap di kawasan Barat Daya mungkin tidak menjadi masalah kerana boleh menggunakan Jambatan Kedua Pulau Pinang.

“Tetapi mereka yang menetap di utara tak ada pilihan, kena guna jambatan pertama ataupun terpaksa jalan lebih jauh untuk menggunakan jambatan kedua.

“Di sinilah baru kita tahu kalau ada satu terowong bawah dasar laut untuk menghubungkan Gurney Drive dan Bagan Ajam adalah lebih baik,” katanya.

Guan Eng berkata, terowong bawah dasar laut amat penting jika Jambatan Pulau Pinang menghadapi masalah, sekurang-kurangnya penduduk ada pilihan lain.

Terdahulu, Plus Malaysia Berhad (Plus) dalam satu kenyataan memaklumkan akan melaksanakan penutupan lorong dan lencongan trafik di Jambatan Pulau Pinang bagi membolehkan kerja-kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan jambatan secara berjadual dijalankan.

Ia dibuat bagi memastikan struktur kabel dan Jambatan Pulau Pinang berada pada tahap yang terbaik.

Kerja-kerja tersebut akan memakan masa setahun bermula 22 Ogos melibatkan laluan arah timur (Pulau ke Seberang Perai) selama enam bulan pertama.

Manakala laluan arah barat (Seberang Perai ke Pulau) pada enam bulan berikutnya sehingga 21 Ogos 2018.

Justeru itu, Plus menasihatkan pengguna Jambatan Pulau Pinang supaya merancang perjalanan sepanjang tempoh kerja penyelenggaraan.

Sebagai alternatif, orang ramai dinasihat menggunakan Jambatan Kedua Pulau Pinang atau menggunakan feri. SH
 
Copyright © 2014 PenangKini.