BREAKING NEWS

Sunday, 27 August 2017

Bekas presiden MPSP dilihat di SPRM hari ini

Bekas presiden Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Datuk Maimunah Mohd Sharif dilihat memasuki ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lewat petang tadi.
Maimunah, 55, yang dilantik datuk bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sejak 1 Julai lepas tiba di ibu pejabat SPRM negeri di Jalan Sultan Ahmad Shah pada 5.30 petang.
Beliau adalah presiden MPSP semasa kilang penapis karbon haram di Sungai Lembu berdekatan Bukit Mertajam beroperasi. Beliau memegang jawatan presiden MPSP dari Mac 2011 hingga Jun tahun ini.
Kilang terbabit menggunakan kaedah konvensional membakar habuk kayu untuk dijadikan karbon yang diaktifkan, produk yang digunakan dalam barangan seperti penapis air, penapis udara dan pendingin hawa.
SPRM melancarkan siasatan selepas didedahkan kilang seluas 5,000 kaki persegi itu tidak mempunyai sistem kawalan pengeluaran asap yang baik.

Terletak di kawasan berbukit di ladang kelapa sawit, kilang itu kira-kira 1km dari kawasan perumahan terdekat dan sudah disita Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Penduduk setempat dilaporkan mengadu mengenai pencemaran udara di kawasan itu sejak 10 tahun lalu, yang didakwa menyebabkan mereka berasa tidak sihat.
Sementara itu, Exco Phee Boon Poh dilihat memasuki bangunan SPRM pada 9.45 pagi.
Pada 11 Ogos, Phee, 66, disoal siasat SPRM selepas didakwa menggunakan kuasa atau kedudukan untuk ganjaran di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. Adun Sungai Puyu itu ditahan pada hari yang sama.
Dua lagi individu, bapa dan anak berusia 70 dan 37, yang merupakan pemilik kilang itu, juga ditahan.
Mereka bertiga direman 5 hari tetapi perintah itu dibatalkan Mahkamah Tinggi. Mereka hanya ditahan reman selama 3 hari. FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.