BREAKING NEWS

Monday, 21 August 2017

BN sasar kerusi maksimum rampas Kelantan

Barisan Nasional (BN) Kelantan sedang meneliti senarai pendek calon yang mampu memberi kemenangan kepada parti itu di setiap kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Pengerusinya Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Mustapa yang juga pengerusi Umno Kelantan berkata, ia bagi memastikan BN mendapat jumlah kerusi maksimum terutama di DUN bagi membentuk kerajaan di Kelantan.
“Calon masih ‘yang mampu menang’, cuma kali ini, kita lebih teliti dan definisinya lebih luas (berbanding PRU13). Senarai calon ini dibawa kepada pucuk pimpinan pada tahun lepas lagi.
“Ada lebih 2 calon disenaraikan di setiap kawasan (Parlimen dan DUN) negeri dan saya akan jumpa setiap ketua bahagian dalam masa terdekat bagi membincangkan dengan lebih terperinci (mengenai calon),” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat BN Kelantan dan Badan Perhubungan Umno Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata senarai calon masih itu merangkumi calon baharu dan lama serta memberi peluang kepada golongan wanita bertanding pada pilihan raya umum itu nanti.
Mustapa yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata, BN Kelantan sentiasa bersedia berdepan dengan apa juga cabaran daripada pembangkang.
“Kita tak boleh ramal apa yang berlaku. Khabar angin menyatakan bukan PKR sahaja yang nak berbaik dengan PAS, malah PPBM juga.
“Kalau hari ini (ramalannya) begini, hari esok mungkin lain pula. Bagaimanapun, kita sentiasa bersiap-sedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan,” katanya.
Dalam pada itu, Mustapa berkata pengundi luar masih menjadi faktor kemenangan setiap parti yang bertanding di negeri ini dan BN Kelantan akan terus berusaha mendekati kumpulan itu menerusi pelbagai program yang disusun.
 
Copyright © 2014 PenangKini.