BREAKING NEWS

Tuesday, 15 August 2017

Boon Poh perlu lepas semua jawatan

15 OGOS: Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid menyelar tindakan Exco Kerajaan Pulau Pinang, Phee Boon Poh yang enggan melepaskan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar.
Beliau ketika dihubungi berkata wakil rakyat DAP itu seharusnya melepaskan jawatan bagi menunjukkan ketelusan untuk bersedia disiasat berhubung kes operasi kilang haram di Kampung Sungai Lembu.
Bagaimanapun Jahara tidak pelik dengan tindakan Boon Poh itu kerana Ketua Menterinya, Lim Guan Eng turut tidak mahu melepaskan jawatan meskipun sedang disiasat berhubung kes pembelian rumah dan projek hartanah bagi pembinaan hospital swasta dan hotel mewah suite yang sepatutnya dibangunkan perumahan kos rendah di Pulau Pinang.
“Kalau Ketua Menteri pun tak nak lepas jawatan, exconya apatah lagi, cakap lain, tapi buatnya lain,macam mana lah exconya nak lepad jawatan? tak ada contoh yang baik dalam pentadbiran kerajaan DAP di Pulau Pinang ni,” katanya.
Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) mengulas tindakan Boon Poh yang enggan melepaskan jawatan sebagai EXCO Kerajaan DAP Pulau Pinang meskipun sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sebelum ini Boon Poh dilaporkan berkata beliau akan meneruskan tugasnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri seperti biasa serta sebagai ADUN.
“Penahanan ini tidak akan mematahkan semangat saya untuk terus menjadi pemimpin di negeri ini, malah saya akan menjalankan tugas dengan lebih baik selepas ini,” katanya.
Jumaat lalu, Boon Po dan dua individu lain ditahan SPRM ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat suruhanjaya berkenaan serta seterusnya direman selama lima hari bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun pada Isnin, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membatalkan permohonan reman ketiga-tiga mereka.
Sebelum ini, Guan Eng turut membuat keputusan tidak melepaskan jawatannya meskipun sedang dibicarakan di mahkamah atas dua tuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.


 
Copyright © 2014 PenangKini.