BREAKING NEWS

Tuesday, 15 August 2017

CAP gesa cepatkan proses penarikan balik produk Ribena

S-M-Mohamed-Idris-ribena-kordialPETALING JAYA: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pengeluar mempercepatkan proses penarikan balik produk sari Ribena daripada pasaran.
Presiden CAP, S M Mohamed Idris dalam kenyataan hari ini menggesa pihak berkuasa mengeluarkan semua produk yang terjejas daripada rak dan mengumumkan kepada orang ramai dengan segera.
“Kami ingin tahu jika penarikan balik itu telah bermula kerana ada sesetengah peruncit memberi diskaun untuk produk itu pada minggu pertama Ogos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga menasihati pengguna yang membeli produk itu mengembalikannya semula dan mendapatkan bayaran balik.Sebelum ini, Suntory Beverage & Food Malaysia Sdn Bhd (Suntory) diarah menarik balik sejumlah produk sari Ribena dalam semua saiz buat sementara waktu berkuat kuasa pada 12 Ogos 2017.
Produk itu ialah Ribena Concentrate Blackcurrant Regular (tarikh luput Mei hingga Ogos 2018), Ribena Concentrate Blackcurrant & Glucose (Mei hingga Ogos 2018), Ribena Concentrate Blackcurrant & Strawberry (Februari hingga Mac 2018), Ribena Concentrate Blackcurrant & Blueberry (Februari hingga Mac 2018) dan Ribena Concentrate Blackcurrant & Apple (April hingga Mei 2018).
Suntory dalam kenyataan berasingan menjelaskan penarikan semula itu dibuat kerana terdapat 1 ralat yang dijumpai ketika membuat pemeriksaan rutin di kilang pembuatannya di Shah Alam.
Sehubungan itu, pihak Suntory menghentikan penghantaran semua produk Ribena dari kilang tersebut kepada semua rakan dagang mereka di seluruh Malaysia.
Suntory dalam kenyataan terbaharu berkata produk sedia minum seperti Sparkling Ribena, Pek Saku, Minuman Paket, Botol PET dan Pastil tidak terjejas. FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.