BREAKING NEWS

Monday, 21 August 2017

DAP Amalkan Pilih kasih dalam budi bicara - Gerakan Pulau Pinang



Kerajaan DAP Pulau Pinang didakwa mengamalkan dasar 'budi bicara' yang pilih kasih, dalam merobohkan binaan haram di negeri ini.

Keadaan itu terbukti apabila tergamak merobohkan binaan yang tidak memberi keuntungan seperti tokong, kuil dan pusat penjaja di negeri itu, berbanding kilang yang dibantah penduduk.

Naib Pengerusi GERAKAN negeri, Oh Tong Keong, mendakwa Kerajaan DAP Pulau Pinang gagal menyelesaikan isu kilang habuk kayu yang beroperasi secara haram di Sungai Lembu, Penanti, walaupun menerima bantahan rasmi penduduk sekitarnya.

Beliau berkata, ia berdasarkan surat dikemukakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Sungai Lembu yang ditandatangani hampir 200 penduduk setempat, pada 25 September lalu.

Selain itu, katanya, isu sama dibangkitkan sekurang-kurangnya lima kali oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti daripada PKR, Dr Norlela Arifin, pada beberapa siri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

"Bagaimanapun, ia (isu kilang haram di Sungai Lembu) gagal diselesaikan kerajaan negeri, walaupun beberapa angka kematian direkodkan, berpunca daripada operasi kilang terbabit.

"Sebaliknya, kerajaan negeri secara tiba-tiba mengemukakan dasar 'budi bicara' bagi mana-mana struktur atau premis haram di negeri ini yang dibina sebelum 2008, dipercayai hanya sebagai alasan apabila gagal mengemukakan jawapan kukuh bagi isu ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu kilang pemprosesan habuk kayu bagi penghasilan penapis karbon yang beroperasi secara haram atas tanah pertanian di Sungai Lembu, pada sidang media hari ini.

Tong Keong berkata, dasar 'budi bicara' diperkenal kerajaan negeri bersifat pilih kasih apabila kebanyakan tokong, kuil dan pusat penjaja haram yang didakwa tidak memberi keuntungan kepada pentadbiran mereka, dirobohkan.

"Ini kerana, sejak 2008 lagi, sekurang-kurangnya enam kes berkaitan tokong, kuil dan pusat penjaja haram dirobohkan kerajaan negeri. Bagaimanapun, tindakan penguatkuasaan ini dilihat tidak menyeluruh dan hanya tertumpu kepada sesetengah pihak," katanya. Sumber : Berita Harian
 
Copyright © 2014 PenangKini.