BREAKING NEWS

Monday, 14 August 2017

DAP didakwa bersikap dwistandard, Kes kilang haram bagi mengalih perhatian isu pentadbiran


NIBONG TEBAL 13 Ogos - DAP disifatkan sekali lagi mengambil pendirian dwistandard dalam isu kilang haram di Penanti di sini, bagi mengalih perhatian rakyat berhubung masalah dihadapi pentadbiran mereka.

Lebih memalukan, menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahadzir Khalid, kenya­taan tersebut dikeluarkan sebelum siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai sekali gus dilihat seolah-olah mahu menyelamatkan Exco, Phee Boon Poh sebelum masanya.


“Dakwaan kononnya SPRM tidak adil dengan menahan Boon Poh menunjukkan dwistandard. Sepatutnya apabila kes membabitkan SPRM, biarkan siasatan berjalan dulu, beri masa untuk mereka keluarkan hujah.

“Belum apa-apa, sebelum hujah dikeluarkan, reman pun belum habis, mereka sudah kata macam-macam. Berbeza kalau pemimpin Barisan Nasional (BN) atau UMNO yang terkena, DAP bersungguh-sungguh mahukan siasatan tegas,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Nibong Tebal di sini, hari ini.

Mahdzir yang juga Menteri Pen­didikan mengulas kenyataan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang menyifatkan penahanan Boon Poh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri sebagai tidak adil kerana percaya operasi kilang berkenaan tidak melibatkan dirinya yang memiliki kekayaan sebelum bergelar ahli politik.

Guan Eng berkata demikian selepas Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Sungai Puyu serta dua lelaki direman untuk membantu siasatan kes sebuah kilang memproses serbuk kayu mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman turut menyelar sikap kerajaan DAP Pulau Pinang yang terus menyalahkan kerajaan Pusat dalam semua masalah di negeri ini termasuk isu kilang haram yang beroperasi di atas tanah persendirian sebelum 2008.

“Kalau hendak salahkan BN, biar kita perintah negeri ini, boleh kita selesaikan banyak perkara. Ini tidak, apa-apa terjadi, salahkan BN.

“Memanglah sejak merdeka kita memerintah negeri ini, tetapi apabila DAP datang dan mendapat mandat rakyat, mereka kenalah laksanakan kerja, kuasa pada mereka. Kalau asyik salahkan UMNO, tidak jadi kerjalah,” tegasnya.

 
Copyright © 2014 PenangKini.