BREAKING NEWS

Thursday, 31 August 2017

Dataran Merdeka kembali ke detik 1957 sempena Hari Kebangsaan ke-60


Umpama menyelak helaian buku sejarah bermula daripada kemerdekaan 31 Ogos 1957, sejarah laluan 60 tahun negara yang menakjubkan disajikan secara istimewa dan penuh nostalgia pada sambutan Hari Kebangsan 2017 di Dataran Merdeka hari ini.

Disaksikan ribuan hadirin di dataran bersejarah dan rakyat Malaysia melalui siaran langsung stesen utama televisyen tempatan, persembahan tahun ini mengembalikan detik bagaimana tanah air dibina hasil kepayahan yang diatasi secara kebersamaan dan perkongsian kuasa oleh anak Malaysia.
Gambaran kegemilangan Malaysia setiap era di bawah teraju 6 perdana menteri dikisahkan secara imbasan babak demi babak daripada sebuah negara yang baru merdeka, kini di ambang negara maju.
Bertepatan tema sambutan “Negaraku Sehati Sejiwa”, semangat kesepaduan, kesefahaman dan kekitaan bukan sahaja terserlah pada wajah barisan kepimpinan negara, tetapi juga terpancar pada peserta dan orang ramai yang membanjiri lokasi seawal 6 pagi.

Acara sambutan yang bermula dalam cuaca cerah pada 8 pagi dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta barisan pemimpin negara daripada pelbagai latar belakang serta ribuan orang ramai.

Pada sambutan ini, Stadium Merdeka – yang menjadi saksi pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu oleh Tunku Abdul Rahman pada 31 Ogos 1957, “dibina semula” di Dataran Merdeka, sekali gus membolehkan orang ramai dan peserta merasai seolah-olah berada di stadium bersejarah itu.
Dataran Merdeka juga “dibawa kembali” kepada persekitaran 1957 menerusi penonjolan suasana kehidupan ketika itu, termasuk dari segi rupa, gaya masyarakat berpakaian serta kenderaan.
Detik bersejarah laungan “Merdeka” sebanyak 7 kali oleh Bapa Kemerdekaan turut dilakonkan semula, melibatkan penampilan istimewa Najib yang berpakaian seragam warna kuning khaki.
Beberapa individu istimewa turut dibawa khas ke Dataran Merdeka, antaranya 2 pesara Tentera Laut Diraja Malaysia yang ditugaskan menaikkan bendera Malaysia buat pertama kali, iaitu Lt Komander (B) Mohd Sharif Kalam dan Pegawai Waran 1 Komander (B) Oliver Culvelt Samuel.
Turut ditampilkan, Rusnah Aksah, gadis berusia 12 tahun ketika diamanahkan melepaskan 101 merpati di Stadium Merdeka pada 16 September 1963, sempena pengisytiharan pembentukan Malaysia.

Kali ini, Rusnah, 66, melepaskan 60 merpati sebagai simbolik 60 tahun negara mengecapi kemerdekaan dan kejayaan di bawah pentadbiran kerajaan sekarang.

Turut menjadi jemputan istimewa adalah waris kepada tokoh pejuang kemerdekaan negara, termasuk Tunku Abdul Rahman, Tun V T Sambanthan, Tun Juggah anak Barieng dan Tun Datu Mustapha Datu Harun.
Bagi menghidupkan suasana, Kementerian Komunikasi dan Multimedia selaku penganjur menyediakan 15 skrin LED gergasi (5 x 3m) di sepanjang Jalan Raja Laut untuk orang ramai mengikuti persembahan di Dataran Merdeka.

Buat pertama kali, rakyat hari ini juga diperkenalkan kepada “F Team” – unit rahsia yang ditubuhkan khas pada 1971 sebelum dibubarkan pada Mei 1995, untuk menghapuskan ancaman komunis melalui persembahan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Persembahan 10 minit yang penuh emosi dan mendapat tepukan hadirin buat wira tidak didendang, sambil disaksikan 58 anggota asal pasukan berkenaan yang turut berdiri memberi penghormatan dan kelihatan ada antara mereka mengalirkan air mata.

Antara yang menarik perhatian adalah persembahan laungan perang dan kawad formasi 1,000 anggota Kementerian Pertahanan.
Acara perbarisan dan perarakan menampilkan 10 segmen utama daripada komponen kenegaraan, perkhidmatan awam, ekonomi, animasi, sukan, jati diri, ketenteraman awam, keselamatan negara, pertunjukan udara dan segmen rakyat bersepadu.
Turut menyertai perarakan kali ini ialah 300 atlet negara yang diketuai Datuk Marina Chin selaku ketua kontinjen yang mencipta kejayaan membanggakan negara apabila muncul juara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang berakhir semalam dengan pungutan 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa.

Acara khas animasi yang berjaya menarik perhatian kanak-kanak juga ditunggu-tunggu melalui kemunculan maskot dan watak utama adiwira animasi terbitan syarikat tempatan, antaranya Ejen Ali, Kluang Man dan Ummi menerusi segmen Kontinjen Animasi.
Selain itu, antara yang turut menarik perhatian orang ramai ialah penampilan kira-kira 300 aset milik pasukan keselamatan negara merangkumi pelbagai jenis kenderaan milik PDRM sejak 1950 hingga kini, termasuk motosikal berkuasa tinggi, motokar Mitsubishi EVO X, unit pemusnah bom serta “Water Can Mercedez Benz Actross’ bagi kegunaan Polis Simpanan Persekutuan (PSP).
Kontinjen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terdiri daripada 3,300 anggota tampil dengan pakaian seragam mengikut era bersama aset terbaharunya, kereta perisai mobiliti tinggi (HMAV) 4×4 yang dikenali sebagai “Lipan Bara”.

Selain terbang lintas aset udara, seperti biasa Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menampilkan aksi hebat pertunjukan udara membabitkan pesawat Sukhoi menerusi formasi akrobatik.
Majlis sambutan penuh gilang-gemilang itu dijayakan 18,000 peserta, termasuk gabungan lebih 400 peserta kumpulan pancaragam terbesar terdiri daripada gabungan 11 agensi unit beruniform yang mengiringi setiap acara persembahan secara berterusan selama 4 jam.

Turut membuat persembahan khas adalah komponen rakyat bersepadu yang menampilkan keunikan kepelbagaian bangsa, disertai penari dari pelbagai jabatan kerajaan, institusi seni dan tarian, badan bukan kerajaan, sekolah seni serta penampilan anak Permata Seni Tari.
Acara sambutan yang tamat pada 10.40 pagi ternyata meninggalkan kenangan manis kepada hadirin yang dilihat enggan berganjak dari tempat duduk sambil tersenyum megah mengibarkan Jalur Gemilang.
 
Copyright © 2014 PenangKini.