BREAKING NEWS

Monday, 21 August 2017

Ekonomi Malaysia Berkembang 5.8 Peratus pada suku kedua 2017


Ekonomi Malaysia berkembang kukuh pada suku kedua 2017, dengan mencatatkan pertumbuhan 5.8 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 4.0 peratus pada suku yang sama tahun lepas.

Peningkatan pada suku kedua 2017, lebih baik daripada 5.6 peratus yang dicatatkan pada suku pertama 2017, dipacu oleh pertumbuhan kukuh dalam eksport kasar, sektor perkhidmatan dan pembuatan serta pelaburan swasta.

Dari segi penawaran, pertumbuhan ini didorong oleh prestasi yang lebih baik bagi semua sektor utama ekonomi, menurut Bank Negara Malaysia dalam satu kenyataan di sini.

"Berikutan pertumbuhan yang kukuh sebanyak 5.7 peratus pada separuh pertama tahun 2017, ekonomi Malaysia dijangka berkembang melebihi 4.8 peratus pada 2017," katanya.

Menurut bank pusat, permintaan dalam negeri dijangka menjadi penyumbang utama pertumbuhan manakala bagi sektor luaran, eksport dijangka mendapat manfaat daripada pertumbuhan global yang lebih kukuh daripada jangkaan.

"Inflasi keseluruhan diunjurkan lebih sederhana pada separuh kedua tahun 2017, mencerminkan kesan daripada faktor kos global yang semakin berkurang. Bagi tahun 2017 secara keseluruhan, inflasi dijangka berada dalam julat purata 3.0 peratus hingga 4.0 peratus," katanya.

Sementara itu, pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi negara meningkat 1.3 peratus (S1 2017: 1.8 peratus).

Inflasi keseluruhan turun kepada 4.0 peratus disebabkan terutamanya oleh harga bahan api dalam negeri yang lebih rendah, katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.