BREAKING NEWS

Wednesday, 23 August 2017

Ekonomi Malaysia diunjur terus berkembang



Ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan momentum untuk terus berkembang pada suku ketiga tahun ini yang didorong kemasukan pelaburan bernilai tinggi.
Ketua Perangkawan Malaysia, Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata aliran perkembangan dan petunjuk utama pihaknya memperlihatkan ia sedang berkembang.
"Walaupun momentum mengambil masa untuk mengubah hala tuju, Malaysia masih berpotensi baik dengan produk barangan bernilai RM1.4 trilion yang diniagakan setiap tahun.
"Ini bermakna, jika kita melihat portfolio pada suku ketiga, ada nilai tinggi pelaburan masuk ke negara ini untuk melabur di Bursa Malaysia dan sektor hartanah, justeru momentum untuk terus berkembang masih ada," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Taklimat Jabatan Perangkaan berkaitan Perangkaan Ekonomi Suku Kedua 2017 semalam. 
Mohd Uzir berkata, dari segi magnitud pengembangan, perkara itu bergantung kepada Kementerian Kewangan untuk mengeluarkan unjuran sendiri.
"Dalam masa dua minggu lagi, Jabatan Perangkaan akan mengeluarkan satu petunjuk aras penting iaitu jumlah eksport kita pada Julai dan kemudian kita akan melihat bagaimana untuk mengekalkan pertumbuhan berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, perangkaan secara bulanan bagi Tinjauan Suku Tahunan bagi Perkhidmatan akan diperkenalkan antara satu hingga dua tahun lagi.
"Kami akan berusaha mengeluarkan perangkaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berdasarkan pendekatan pendapatan seperti yang menjadi amalan beberapa negara membangun, berbanding KDNK ketika ini yang dikeluarkan berdasarkan nilai tambah dan perbelanjaan," katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.