BREAKING NEWS

Friday, 25 August 2017

'Flip flop': Sokongan terhadap Amanah tinggal 1 peratus

SHAH ALAM - Amanah dijangka akan kehilangan sebahagian sokongan disebabkan pendirian mereka yang 'flip flop'  berkenaan penubuhan Suruhanjaya Diraja (RCI) menyiasat Tragedi Memali.

Pengarah Pusat Penyelidikan Pas (PPP), Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, berdasarkan dapatan Institut Darul Ehsan (IDE) yang didedahkan sebelum ini, sokongan semasa kepada Amanah adalah di tahap 1 peratus.

"Oleh sebab itu, dengan pendirian mereka yang celaru terhadap RCI Memali, sokongan terhadap Amanah dijangka merudum kepada 0.5 peratus selepas ini.


"Kami yakin dengan pendirian 'flip flop' pimpinan Amanah dalam isu ini akan membuka mata ahli-ahli Amanah bahawa kepimpinan mereka tiada kepentingan diri dan akan kembali ke pangkuan Pas setelah melihat cakap kosong parti tersebut," katanya dalam satu kenyataan media.

Semalam, pimpinan tertinggi Amanah sedia memberi kerjasama jika dipanggil selepas tertubuhnya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung peristiwa Memali.

[ARTIKEL BERKAITAN: RCI Memali: Amanah sedia ke depan jika dipanggil]

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, persetujuan itu diambil memandangkan kebanyakan ahli parti itu adalah bekas ahli Pas yang sebelum ini kuat memperjuangkan peristiwa tersebut.

Tambah Mohd Zuhdi lagi, sebahagian ahli Amanah terdiri dari bekas ahli-ahli Pas yang bersifat 'Umnofobia'.

"Salah satu sebab mereka bersifat sedemikian adalah disebabkan Tragedi Memali dan ia meninggalkan kesan yang mendalam kepada hati para pendukung Pas.

"Bagaimanapun, sikap pimpinan utama Amanah dan pemudanya yang memperlekehkan desakan pelbagai pihak supaya ditubuhkan RCI Memali, akan menyebabkan ahli-ahli mereka dari kalangan bekas-bekas pendukung PAS mula berfikir tentang kesahihan halatuju parti tersebut," katanya lagi.
 
Copyright © 2014 PenangKini.