BREAKING NEWS

Thursday, 24 August 2017

Ganjaran Buat The Speedy Jantan




MELAKA – Kerajaan Negeri Melaka akan memberikan ganjaran sebagai menghargai sumbangan jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan yang mengharumkan nama Malaysia pada Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, bentuk ganjaran yang bakal diberikan akan ditentukan selepas pelari berusia 19 tahun itu menamatkan semua acara yang disertainya pada temasya dwitahunan itu.

“Kerajaan negeri akan memberikan ganjaran yang setanding dengan jasa yang telah dicurahkan anak muda kelahiran Merlimau, Jasin itu.

“Tahniah buat Khairul Hafiz atas pencapaian memenangi pingat emas 100 meter pada Sukan SEA Ke-29 dan kerajaan negeri mengiktiraf pencapaian beliau sebagai sebuah sumbangan besar kepada negeri juga negara,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri Melaka di Ayer Keroh di sini, semalam.

Kelmarin, Khairul Hafiz muncul mengungguli acara 100 meter Sukan SEA Ke-29 selepas melintas garisan penamat dalam masa 10.38s, mengatasi juara bertahan Eric Cray dari Filipina yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan catatan 10.43s.

Khairul Hafiz akan beraksi dalam acara 4x100m esok. - Bernama
 
Copyright © 2014 PenangKini.