BREAKING NEWS

Friday, 4 August 2017

Gerakan dakwa Guan Eng manipulasi faedah dalam perjanjian air

Datuk-Liang-Teck-MengPUTRAJAYA: Gerakan mendakwa Pulau Pinang tidak berjaya mengurangkan beban hutangnya, sebaliknya kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng memanipulasi faedah dinikmati mereka hasil perjanjian penstrukturan air dengan kerajaan pusat pada 2011.
Sehubungan itu, setiausaha agung parti komponen Barisan Nasional itu, Datuk Liang Teck Meng menggesa Lim supaya tidak mendabik dada mengenai beban hutang Pulau Pinang, tetapi memberi penjelasan kepada rakyat berhubung perkara sebenar.
“Beliau tidak berjaya mengurangkan pun hutang. Sebenarnya Guan Eng cuma ‘transfer’ aset negeri kepada kerajaan pusat, sedangkan setiap tahun dia kena bayar berpuluh juta kepada kerajaan pusat.
“Jadi, janganlah anggap itu sebagai usaha mencapai kejayaan untuk negeri itu. Jangan menipu rakyat yang mereka bijak mengurangkan hutang negeri,” kata pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) itu.
“Dia kena bagi gambaran betul kepada rakyat, jangan menipu dan sembunyikan sesuatu. Sepatutnya dia kena bagi penjelasan dan gambaran secara keseluruhan macam mana Pulau Pinang boleh kurangkan hutang secara ‘gentleman’,” katanya selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah warga SPAN bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
Liang turut mendesak Lim menyahut cabaran Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan membatalkan perjanjian penstrukturan air pada 2011, jika benar kerajaan negeri itu berjaya mengurangkan hutang negeri sebanyak 95%.“Kalau nak teruskan pembohongan itu, Guan Eng batalkanlah perjanjian tersebut sepertimana cabaran yang diberi Rahman Dahlan kepada beliau,” katanya.
Selasa lalu, Rahman dilaporkan berkata, hakikat sebenarnya ialah 95% pengurangan hutang kerajaan Pulau Pinang direalisasikan kerajaan pusat melalui perjanjian penstrukturan air pada 2011, di mana kerajaan pusat bersetuju mengubah hutang sedia ada sebanyak RM655.24 juta kepada bayaran ansuran RM14.56 juta setahun selama 45 tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, melalui perjanjian sama, kerajaan pusat bersetuju memberi geran RM1.2 bilion kepada kerajaan Pulau Pinang untuk memperbesarkan empangan Mengkuang, di sebalik fitnah DAP kononnya kerajaan pusat tidak membantu Pulau Pinang.
Lim yang juga setiausaha agung DAP kemudiannya menafikan kenyataan Rahman dengan menyifatkan pemimpin Umno itu kebudak-budakan dan cemburu dengan pencapaian kerajaan negeri pimpinan DAP.
“Pulau Pinang sudah mengurangkan hutang negeri sebanyak 90% kepada RM65 juta pada hujung 2016, terendah antara semua negeri di negara ini.
“Adakah Rahman iri hati dengan kejayaan Pulau Pinang dalam pengurangan hutang dan tunggakan bayaran hutang sifar ini tidak dapat diikuti kerajaan persekutuan yang menyaksikan kenaikan RM147 bilion dalam tempoh 5 tahun daripada RM501.6 bilion pada 2012 kepada RM648.5 bilion pada 2016?
“Hutang kerajaan persekutuan mungkin melebihi RM800 bilion sekiranya liabiliti luar jangka dalam bentuk jaminan dan surat sokongan kerajaan persekutuan turut dimasukkan,” katanya dalam kenyataan semalam.
 
Copyright © 2014 PenangKini.