BREAKING NEWS

Tuesday, 15 August 2017

Guan Eng tetap tidak mahu roboh kilang haram

Ketua Menteri, Lim Guan Eng memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak menyalahkan Kerajaan DAP Pulau Pinang sekiranya lebih banyak bangunan yang beroperasi secara haram di negeri ini dirobohkan selepas mesyuarat Exco lusa.



Beliau berkata, tindakan itu diambil berikutan desakan pelbagai pihak yang mahu kerajaan negeri merobohkan kilang memproses habuk kayu di Kampung Sungai Lembu, Penanti yang kini sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


“Sekiranya dasar sedia ada tidak dibenarkan, kita kena roboh semua yang haram termasuk kedai penjaja, bangunan, struktur dan kilang. Jangan salahkan kerajaan negeri jika kita ambil tindakan itu selepas ini,” katanya di luar Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Dalam pada itu Guan Eng berkata, kerajaan ne­geri tetap bertegas dengan dasar untuk tidak merobohkan kilang ha­ram pembakaran habuk kayu di Kampung Sungai Lembu, Penanti dan masih menunggu kata putus daripada SPRM.


Pada masa sama jelas beliau, sekiranya SPRM mengeluarkan arahan perobohan, tindakan itu bermaksud telah mencampuri dasar kerajaan negeri, justeru tindakan penguatkuasaan yang serupa perlu dilaksanakan di negeri lain.

“Kita tetap bertegas dengan­ dasar ini sebab kita dipilih rak­yat dan tidak akan mulakan pe­robohan membabitkan puluhan ribu struktur haram di negeri ini. Kita mahu bu­at secara elok, kita seimbangkan, kalau boleh buat pemutihan,” jelasnya.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau telah dipanggil untuk mem­beri keteran­gan berhubung siasatan kes tersebut, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan berkata, setakat ini, beliau tidak dihubungi oleh mana-mana pegawai SPRM.

“Saya tidak dihubungi oleh sesiapa (daripada SPRM) dan nampaknya saya hanya men­getahui mengenainya menerusi media,” katanya.

UTUSAN
 
Copyright © 2014 PenangKini.