BREAKING NEWS

Sunday, 27 August 2017

Idea Dr Mahathir wujud ‘Proton ke-2’ tak masuk akal

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mengemukakan idea kereta nasional ke-3 jika Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Putrajaya, masih dalam “pemikiran lama”.
Merujuk kepada rancangan Dr Mahathir, Aziz berkata, bekas perdana menteri itu mempromosikan pemikiran lama dengan bergantung kepada pasaran domestik untuk kejayaan syarikat kereta kebangsaan.
“Negara tidak mampu untuk mewujudkan 1 lagi ‘Proton’.
“Tidak masuk akal untuk Malaysia mempunyai firma automotif lain yang tidak berdaya saing, dalam negara atau di pasaran global,” kata beliau.
Aziz menambah, pengerusi PH harus menilai keadaan untuk menentukan sama ada sebuah syarikat baharu akan dapat bersaing dalam pasaran global.
Ketika bercakap pada forum mengenai pelaburan China di Malaysia kelmarin, Dr Mahathir mengemukakan idea syarikat pengeluar kereta kebangsaan baharu untuk membantu perniagaan tempatan yang berhadapan dengan situasi sukar selepas DRB-Hicom menjual 49.9% ekuiti dalam Proton kepada pembuat kereta China Geely Holding Group (Geely) .
“Jika saya tidak dapat kembali Proton, saya mempunyai beberapa idea mengenai memulakan syarikat automotif lain. Idea untuk membina 1 lagi kereta kebangsaan adalah kerana ia boleh menjadi pemangkin bagi pertumbuhan kejayaan kejuruteraan dan keupayaan kami.
“Bagi Proton, pelbagai syarikat ditubuhkan untuk mengeluarkan komponen dan bahagian kereta. Kereta memerlukan 4,000 bahagian, jadi ini memberi peluang kepada pengilang,” kata Dr Mahathir mengenai projek Proton yang digerakkan beliau pada 1980-an.
Semalam, Datuk Seri Salleh Said Keruak menasihatkan Dr Mahathir berpijak di bumi nyata dengan cadangannya menubuhkan sebuah lagi syarikat pengeluar kereta nasional.

“Apabila Proton itu tujuannya dulu ialah untuk kita mewujudkan sebuah kereta nasional…tetapi ia mengalami pelbagai peristiwa dan menghadapi kerugian.
“Kita menyokong industri kereta begitu agresif sekali sehingga sekarang. Apabila ada pelabur yang berminat mengadakan usaha sama dan ia tidak akan menghilangkan identiti kita, tidak ada sebab kita tidak menyokong,” kata menteri komunikasi dan multimedia.
Aziz, yang merupakan Ahli Parlimen Sri Gading berkata, kerajaan mahu Proton menyasarkan pasaran antarabangsa sambil terus menggunakan kemahiran tempatan dan pembekal komponen.
“Keputusan untuk bergabung dengan Geely adalah untuk membantu mengatasi masalah penjualan kereta Proton di peringkat antarabangsa.
“Ini kerana untuk berjaya sebagai jenama global, Proton perlu menjana jumlah jualan yang lebih tinggi,” kata Aziz.
“Proton telah kehilangan wang kerana kita tidak mempunyai akses yang mencukupi di pasaran global.”
Meskipun menjual hampir separuh ekuiti syarikat itu ke Geely, Proton masih menjadi projek kereta nasional di bawah DRB-Hicom, yang merupakan syarikat berkaitan kerajaan.
Justeru, Aziz menasihatkan agar Dr Mahathir mengemas kini pengetahuan beliau mengenai dinamik industri pengeluaran kereta.
Beliau berkata pengilang kereta, termasuk dari negara-negara Barat, mengubah cara kereta dipasarkan di peringkat global tetapi masih menggunakan kemahiran dan pembekal tempatan.
Beliau berkata ini berlaku dengan syarikat Volvo dari Sweden yang dijual kepada Geely pada tahun 2010.
“Mereka yang terlibat dalam industri tempatan menyokong dan gembira dengan penggabungan Proton-Geely. Mereka melihat potensi dalam membuka pasaran baharu,” kata Aziz.
 
Copyright © 2014 PenangKini.