BREAKING NEWS

Friday, 25 August 2017

India tawar biasiswa untuk pelajar Malaysia

KUALA LUMPUR: India menawarkan biasiswa kepada rakyat Malaysia berketurunan India melanjutkan pelajaran pada tahun akademik 2017-2018.
Menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia, pelajar yang ingin mengikuti pengajian dalam bidang profesional dan umum di universiti India dipelawa memohon biasiswa itu.
“Program Biasiswa untuk Anak Diaspora (SPDC) terbuka kepada orang berketurunan India (PIO), orang India bukan penduduk (NRI) dan anak pekerja India di Malaysia,” katanya.

Biasiswa itu terbuka kepada pemohon antara 17 dan 21 tahun, tarikh tutup permohonan pada 30 September.
Pemilihan dibuat berasaskan merit semata-mata dan hanya permohonan atas talian melalui portal SPDC, spdcindia.gov.in, yang disertakan dokumen, akan dilayan.
Katanya, senarai calon terpilih akan disiarkan dalam portal Kementerian Hal Ehwal Luar (MEA) dan portal Kerajaan India di alamat www.mea.gov.in
Pada tahun pertama, biasiswa itu menyediakan sebahagian daripada bantuan kewangan iaitu 75 peratus Kos Ekonomi Institusi (IEC) atau US$3,600 hingga US$4,000 setahun, termasuk yuran pengajian dan asrama dan caj lain, kata kenyataan itu.
 
Copyright © 2014 PenangKini.