BREAKING NEWS

Wednesday, 23 August 2017

Isu Peristiwa Memali Serlah Kelemahan AMANAH


Saya sekadar memerhatikan dengan penuh minat sahaja reaksi pelbagai pihak ke atas cadangan bagi menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja bagi mengkaji Peristiwa Memali.
Cadangan ini bukan sesuatu yang baru kerana penubuhan Suruhanjaya Diraja ini terkandung di dalam kenyataan akhbar Presiden PAS, Haji Yusof Rawa, pada 22 November 1985.

Ia malah merupakan satu keputusan rasmi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 8 Disember 1985 yang diumumkan oleh Haji Yusof Rawa pada 9 Disember 1985.
Kesyahidan Ibrahim Libya dan 13 pengikut beliau dipersetujui oleh semua pemimpin PAS, termasuk Haji Yusof Rawa, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Fadzil Mohd Noor.

Kesyahidan mereka turut dinyatakan oleh PAS dalam satu memorandum, yang ditandatangani oleh Haji Yusof Rawa, kepada Perdana Menteri pada 19 Februari 1986.
Justifikasi ke atas kesyahidan mereka boleh dibaca di dalam buku yang diterbitkan atas nama Datuk Mohd Nakhaei Ahmad bertajuk “Syuhada’ Memali: Pendakwah bukan Penderhaka”.
Penyediaan buku ini telah dibantu oleh sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan khusus bagi tujuan itu oleh Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat pada 11 dan 12 Februari 1986.

Bila pemimpin AMANAH mempertikaikan cadangan penubuhan Suruhanjaya Diraja ini, atau mempersoalkan punca Peristiwa Memali, jelaslah mereka bukan pewaris PAS.
Lebih jauh lagi, kenyataan pemimpin AMANAH juga tidak mengambil kira pendirian konsisten Penasihat Umum mereka, Haji Ahmad Awang, mengenai Peristiwa Memali ini.

Perihal Haji Ahmad Awang diusir keluar dari mesyuarat khas Majlis Fatwa Kebangsaan kerana menghujjahkan kesyahidan Ibrahim Libya dan 13 pengikut beliau adalah satu rekod.
Facebook rasmi AMANAH juga pernah, pada 18 November 2015, memuatnaikkan status memperingati Peristiwa Memali dan mendoakan Allah merahmati roh para Syuhada' Memali.
Cara AMANAH menangani Peristiwa Memali ini menunjukkan kelemahan parti itu dalam berorganisasi selain menunjukkan ketidakkonsistensiannya dalam memperjuangkan isu.

Kenyataan yang dibuat tanpa dirujuk kepada Majlis Penasihat Pakar dan Penasihat Umum juga menjadikan relevansi Majlis Penasihat Pakar dan Penasihat Umum boleh dipersoal.
Kenyataan yang dibuat menunjukkan slogan “Islam sebagai rahmat untuk semua” tidak terpakai kepada PAS di mana AMANAH dilihat hanya berminat menghentam PAS.

Keterikatan AMANAH dengan PAS ini menimbulkan tanda tanya ke atas kemampuan parti itu bergerak ke hadapan selaras dengan imej “progresif” yang cuba diprojeksi olehnya.

Sumber : Dr, Kamarul Yusoff
 
Copyright © 2014 PenangKini.