BREAKING NEWS

Sunday, 6 August 2017

Kabinet setuju, KR1M 2.0 akan dilancar


Hamzah-Zainudin-kedaiPETALING JAYA: Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) versi 2.0 yang lebih hebat membantu rakyat di seluruh negara akan dilancarkan tidak lama lagi, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Hamzah berkata, cadangan itu dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri yang telah memberi persetujuan bagi pelaksanaannya.

Butiran lanjut berkaitan kriteria KR1M 2.0 kini dalam proses dimuktamadkan sebelum ia dilancarkan kepada umum.

Dipetik Utusan Online, Hamzah berkata, pengumuman mengenainya akan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelak.

“Saya tidak dapat mendedahkan butiran lanjut pada masa ini,” kata beliau ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Sayap Umno Bahagian Jempol di Jempol hari ini.

Pada 29 Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan kementerian perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan menamatkan kontrak pengendali KR1M yang didapati menjual barang lebih mahal daripada pasaran.

“Peluang telah diberikan, saya tak nak sebut nama syarikat. Saya sendiri pergi ke Kedai Rakyat 1Malaysia sebab di bawah Umno Bahagian Bagan Datuk ada, saya bagi peluang untuk kedai itu dibuka dengan sewa yang cukup-cukup rendah.
“Sebab saya wujudkan kedai itu untuk membantu rakyat di kawasan saya. Tapi jelas harganya lebih mahal, sedangkan kerajaan beri peruntukan tertentu kepada syarikat itu untuk menjual barang di bawah harga pasaran,” katanya.

Timbalan perdana menteri berkata, kerajaan tidak mahu syarikat berkenaan membekalkan barang dan mengendalikan operasi KR1M lagi kerana pembungkusan serta pengedaran barang berkualiti rendah, tetapi dijual pada harga lebih mahal.

Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) pula mendakwa syarikatnya mengalami kerugian besar mengendalikan KR1M yang merupakan projek tanggungjawab sosial korporatnya (CSR).
Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, projek berkenaan diteruskan juga demi manfaat rakyat walaupun banyak yang diperkatakan mengenai kegagalan operasi KR1M.
“Saya tidak akan mengulas sebarang tuduhan dibuat kerajaan kerana ia tidak akan membawa kita ke mana-mana,” katanya menerusi kenyataan kepada FMT.

Hari ini Hamzah dilaporkan memberitahu, beliau bersetuju dengan kenyataan Ahmad Zahid untuk menamatkan kontrak pengendali KR1M sekiranya syarikat berkenaan tidak mampu melaksanakan program itu seperti dikehendaki kerajaan.
Jelasnya, kerajaan telah banyak membantu operator tersebut menjayakan pelaksanaan program berkenaan.

“Siapa yang kata kita tak bantu, kita telah banyak membantu tetapi dia kata seolah-olah kita tidak bantu,” ujarnya. FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.