BREAKING NEWS

Tuesday, 15 August 2017

Kegagalan Usaha Jadikan RUKUN NEGARA Sebagai Muqadimah Perlembagaan Persekutuan Bukti Kuasa NGO & NGI Melayu Islam - Dr Kamarul Zaman Yusoff

KEGAGALAN USAHA JADIKAN RUKUN NEGARA SEBAGAI MUQADIMAH PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN BUKTI KUASA NGO DAN NGI MELAYU ISLAM
Pada 26 September 2016, Dr Chandra Muzaffar telah mengeluarkan satu kenyataan bagi mendesak Rukun Negara dijadikan sebagai muqadimah Perlembagaan Persekutuan (RMP) sekali gus menjadikan matlamat dan prinsip Rukun Negara memiliki taraf undang-undang
Yang dimaksudkan dengan matlamat Rukun Negara adalah:
“Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:
• Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya
• Memelihara cara hidup demokratik
• Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama
• Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak
• Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden”
Yang dimaksudkan dengan prinsip Rukun Negara pula adalah:
“Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:
• Kepercayaan kepada Tuhan
• Kesetiaan kepada Raja dan Negara
• Keluhuran Perlembagaan
• Kedaulatan Undang-undang
• Kesopanan dan Kesusilaan”
Di dalam kenyataan beliau ini, Dr Chandra Muzaffar telah memberikan tujuh “sebab yang kukuh” mengapa Rukun Negara seharusnya dijadikan muqadimah Perlembagaan Persekutuan, di mana sebab keenamnya adalah berbunyi: “Peningkatan darjat Rukun Negara telah menjadi lebih penting kerana oleh desakan sebahagian masyarakat Muslim untuk undang-undang dan dasar-dasar yang mencerminkan tafsiran sempit mereka terhadap agama—tafsiran yang tidak semestinya mewakili intipati Islam. Oleh kerana kecenderungan yang semakin kuat ini, kita perlu memperkasakan sebuah falsafah yang komprehensif dan pada masa yang sama sebati dengan nilai dan aspirasi Islam. Panca Sila, prinsip panduan yang diamalkan di negara Indonesia mempunyai banyak persamaan dengan Rukun Negara, dan telah lama berakar umbi dalam jiwa rakyat Indonesia telah memainkan peranan yang besar dalam mencegah ketaksuban dan dogmatik di negara Islam terbesar di dunia itu.”
Pada 23 Januari 2017 pula, Dr Chandra Muzaffar bersama-sama enam rakan beliau, iaitu Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, Prof Dr Tan Chong Tin, Prof Madya Madeline Berma, Datin Paduka Marina Mahathir, Zainah Anwar dan Firdaus Husni, yang lebih dikenali sebagai G7, lantaran ia dianggotai oleh tujuh individu, telah melancarkan secara rasmi gerakan menjadikan Rukun Negara sebagai muqadimah Perlembagaan Persekutuan ini.
Sasaran G7, seperti yang dinyatakan oleh Dr Chandra Muzaffar selaku Pengerusi RMP di dalam ucapan pelancaran RMP, adalah untuk mengumpulkan sebanyak mungkin tandatangan rakyat Malaysia yang dewasa ke atas petisyen dalam talian untuk menyokong inisiatif ini dalam tempoh 3 bulan — iaitu hingga 30 April 2017. Selain itu, permohonan untuk menjadikan Rukun Negara sebagai muqadimah Perlembagaan Persekutuan akan dipersembahkan kepada Persidangan Raja-Raja di mana Persidangan Raja-Raja diharapkan akan menasihati Kabinet dan Parlimen untuk mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menyerapkan Rukun Negara dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai Muqadimahnya. Serentak dengan itu, “permohonan rakyat” ini juga dikatakan akan turut dihantar kepada Perdana Menteri dan Kabinet serta ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Tidak dinafikan bahawa insiatif G7 ini mendapat sokongan beberapa pihak. Antara yang paling memberi sokongan kepada insiatif G7 ini ialah Dr Kassim Ahmad yang merupakan penulis buku “Hadis – Satu Penilaian Semula”, yang penerbitannya telah diberi sokongan oleh Pengerusi PPBM merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad. Di dalam tulisan beliau, Dr Kassim Ahmad menyebut bahawa Perlembagaan Persekutuan mengandungi satu kecacatan asas (fundamental flaw), iaitu menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan (making Islam the religion of the Federation), sedangkan, kata beliau, tiada di dalam al-Qur’an atau di dalam Piagam Madinah disebut mengenai kewujudan satu agama negara (neither in the Quran nor in the Prophet’s Madinah Charter is it mentioned a state religion).
Begitu pun, paling ketara adalah bangkangan kuat beberapa NGO dan NGI Melayu Islam ke atas cadangan untuk menjadikan Rukun Negara sebagai muqadimah Perlembagaan Persekutuan ini, khususnya oleh tokoh-tokoh seperti bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad; Felo Utama IKIM, Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz; Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar; Timbalan Presiden ISMA, Tuan Haji Aminuddin Yahaya; dan aktivis IPeguam, Danial Ariff Shaari. Turut menyuarakan tentangan ke atas cadangan ini adalah PERKASA yang, melalui satu sidang meja bulat membabitkan 31 tokoh pada 5 Mac 2017, meluluskan satu resolusi, yang diumumkan oleh Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali, dan yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-Raja Melayu dan Perdana Menteri, bagi menolaknya.
Asas penolakan utama ke atas cadangan untuk menjadikan Rukun Negara sebagai muqadimah Perlembagaan Persekutuan ini adalah ia akan menjejaskan kedudukan Islam dan Melayu seperti yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan sejak sekian lama, termasuk, di dalam kata-kata Tun Abdul Hamid Mohamad, bahawa ia akan “menyamakan kedudukan semua agama di Malaysia” atau bahawa ia, secara umumnya, “akan membuka ruang kepada kumpulan-kumpulan yang tidak puas hati dengan peruntukan-peruntukan yang sedia ada untuk mencabar peruntukan-peruntukan Perlembagaan, undang-undang, peraturan, arahan dan tindakan eksekutif yang dianggap tidak saksama, tidak adil dan diskriminatori walaupun semua itu telah dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan.”
Tidak hairanlah bila tempoh tandatangan ke atas petisyen dalam talian bagi menyokong cadangan untuk menjadikan Rukun Negara sebagai muqadimah Perlembagaan Persekutuan ini berakhir, iaitu 30 April 2017, hanya kira-kira 350 tandatangan sahaja berjaya dikumpul.
Lebih jauh lagi ialah bila Dr Chandra Muzaffar selaku Pengerusi RMP sendiri mengumumkan, di dalam satu laporan portal berita The Malay Mail Online hari ini, 14 Ogos 2017, bahawa G7 kini mungkin menukar strateginya kepada hanya melobi supaya Raja-Raja Melayu menegaskan kembali komitmen mereka kepada prinsip-prinsip Rukun Negara dan kepada hanya melobi supaya Parlimen meluluskan satu usul bagi mengesahkan kedudukan Rukun Negara sebagai falsafah yang memandu Malaysia (merely lobbying for the Malay Rulers to reaffirm their commitment to the national principles, and for the Parliament to adopt a motion reconfirming its position as the country’s guiding philosophy).
Sesungguhnya kegagalan usaha G7 menjadikan Rukun Negara sebagai muqadimah Perlembagaan Persekutuan adalah satu bukti jelas betapa berpengaruhnya NGO dan NGI Melayu Islam di dalam mencorakkan hala tuju negara. Tahniah diucapkan kepada semua NGO dan NGI yang terlibat di dalam isu ini, termasuk yang tidak disebut nama mereka.
Sehubungan itu, saya secara peribadi berpendapat bahawa hasrat G7 untuk melobi supaya Raja-Raja Melayu menegaskan kembali komitmen mereka kepada prinsip-prinsip Rukun Negara tidak seharusnya diteruskan. Gesaan begini, pada hemat saya, adalah satu penghinaan (an insult) kepada Raja-Raja Melayu kerana ia menggambarkan seolah-olah Raja-Raja Melayu selama ini tidak memberikan komitmen mereka kepada prinsip-prinsip Rukun Negara.

 
Copyright © 2014 PenangKini.