BREAKING NEWS

Wednesday, 16 August 2017

Kementerian arah kilang tarik balik tepung rangup


Kementerian Kesihatan mengarahkan sebuah kilang di ibunegara supaya menarik balik semua tepung rangup yang dibungkus dengan kertas pembungkus kapur siling daripada pasaran.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata hasil siasatan mendapati kilang berkenaan telah tersilap menggunakan kertas pembungkus kapur siling untuk membungkus tepung rangup tersebut.
“Kementerian Kesihatan mengambil maklum isu yang tular di media sosial berhubung dakwaan sebuah premis menjual pisang goreng di Puchong, Selangor, dicampur dengan kapur siling bagi merangupkan makanan tersebut.
"Berhubung perkara ini, Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah menjalankan siasatan terhadap premis menjual pisang goreng tersebut dan mendapati pihak kilang telah tersilap menggunakan kertas pembungkus kapur siling untuk membungkus tepung rangup berkenaan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau menjelaskan bahawa kementerian sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Dr Noor Hisham berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga telah mengambil tindakan ke atas premis tersebut kerana beroperasi tanpa lesen.

Sebelum ini, gambar sebuah premis menjual pisang goreng tular di media sosial dengan dakwaan peniaga berkenaan menggunakan tepung bercampur kapur siling untuk merangupkan makanan tersebut.
Orang ramai yang mempunyai kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan diminta menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat selain melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://www.facebook.com/bkkmhq.
- Bernama

 
Copyright © 2014 PenangKini.