BREAKING NEWS

Wednesday, 9 August 2017

Khairy: ‘Saya tidak campur urusan pilih atau gugur atlet’



Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin tidak akan campur tangan dalam soal pemilihan atau pengguguran atlet yang akan menggalas cabaran negara dalam temasya Sukan SEA ke-29.
“Keputusan yang dibuat itu adalah melalui saluran yang betul. Saya tidak akan campur tangan dalam semua pemilihan atau menggugurkan atlet,” katanya ketika diminta mengulas laporan berhubung pengguguran atlet olahraga pada saat-saat akhir.

“Keputusan dibuat oleh pihak pengurusan sukan olahraga. Ia telah dimaklumkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM)… Ini adalah keputusan yang dibuat melalui saluran yang betul,” tegas beliau.
Khairy menegaskan bahawa sebagai menteri, beliau adalah penggubal dasar namun tidak mempunyai hak dalam keputusan yang dibuat persatuan sukan.
Menurut Khairy, beliau juga mendapat penjelasan bahawa keputusan yang dibuat adalah munasabah dan tidak akan menjejas peluang skuad olahraga dalam temasya dwitahunan itu.
Laporan seorang blogger sukan hari ini menyebut bahawa atlet pecut wanita, S.Komalam Shally telah digugurkan daripada senarai kuartet 4x100m wanita atas alasan disiplin.

 
Copyright © 2014 PenangKini.