BREAKING NEWS

Friday, 25 August 2017

Kilang haram bakal jadi manifesto BN Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Isu kilang haram di Pulau Pinang akan dicadangkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang bagi pilihan raya umum ke-14.
Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong berkata, pihaknya bakal mencadangkan perkara itu kepada Pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow untuk dibawa pada mesyuarat BN Pulau Pinang yang diadakan bulan depan bersama Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
“Kami harap isu kilang haram ini dijadikan antara kandungan manifesto BN negeri ini,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Minggu lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan operasi di kilang haram memproses serbuk kayu di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam, dipercayai mencemari alam sekitar kampung itu.
SPRM turut mengambil beberapa dokumen daripada pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Bandar Perda bagi membantu siasatan kes itu. Susulan itu, SPRM menahan anggota Exco Pulau Pinang Phee Boon Poh dan 2 beranak yang merupakan pengarah dan pengurus kilang tersebut bagi membantu siasatan.
Isu kilang haram itu pernah dibangkitkan ADUN Penanti daripada PKR, Dr Norlela Ariffin pada persidangan DUN yang mendakwa banyak kilang haram dibiar beroperasi di Penanti tanpa tindakan lanjut oleh kerajaan negeri.
 
Copyright © 2014 PenangKini.