BREAKING NEWS

Wednesday, 30 August 2017

Lebih 1200 pelajar sekolah dikesan terlibat dadah


Seramai 1,256 pelajar sekolah dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak 6 bulan pertama tahun ini, kata Pengarah Bahagian Pencegahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Abdul Rahman Hamid.
Beliau berkata ini berdasarkan ujian saringan air kencing dijalankan ke atas mereka dalam pemeriksaan yang dijalankan AADK di sekolah.
“Dalam kalangan pelajar sekolah ini, walaupun bilangan masih terkawal, tetapi dianggap serius kerana bilangan itu semakin meningkat berbanding tahun lalu.
“Kami kesan pelajar ini merupakan penagih baharu. Meskipun baru terlibat, kami tetap berikan kesedaran melalui program dijalankan supaya mereka dapat menjauhkan diri daripada terus bergelumang dengan najis dadah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Nota Persefahaman (NoU) antara AADK Negeri Sembilan dan Kolej Cosmopoint Seremban hari ini.

Abdul Rahman berkata sekolah yang didapati pelajar mereka terlibat dengan penyalahgunaan dadah dikategorikan sebagai sekolah berisiko. Justeru itu, AADK mengambil tindakan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengatasi masalah itu
“Pihak kerajaan mengganggap serius perkara ini dan tindakan serius akan diambil dengan menggerakkan program yang sepatutnya dibuat dalam kalangan pelajar yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata pelajar positif dadah akan ditempatkan bawah program Sayangi Hidup Elak Derita Selamanya (SHIELDS) dan program Intelek Asuhan Rohani (Pintar).
Sementara itu, tahun ini didapati bilangan pelajar paling ramai terlibat penyalahgunaan dadah adalah di Kedah dan bagi tempoh 6 bulan pertama ini juga, AADK mengesan 337 pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Majlis menandatangani NoU antara AADK Negeri Sembilan dan Kolej Cosmopoint Seremban bertujuan memberi pemahaman dan pendedahan tentang kesan dadah kepada golongan belia dan menerapkan semangat kesukarelaan dalam diri pelajar melalui penyertaan program komuniti yang dianjurkan AADKNS.
 
Copyright © 2014 PenangKini.