BREAKING NEWS

Thursday, 3 August 2017

Mana Lagi Besar antara Kemarahan Rakyat Terhadap G25 Dengan Kemarahan Rakyat Terhadap Pengharaman Buku G25?


Beberapa buah portal berita seperti Singapore Straits Times (melalui laporan bertajuk “Malaysia Government Sparks Anger With Ban On Moderate Islam Book”) dan Free Malaysia Today (melalui laporan bertajuk “Outrage In Malaysia After Ban On Moderate Islam Book”) sedang hangat menyiarkan laporan sebuah agensi berita antarabangsa, AFP, kononnya rakyat Malaysia marah dengan tindakan kerajaan mengharamkan buku G25, “Breaking the Silence: Voices of Moderation - Islam in a Constitutional Democracy”.
Saya merasa hairan bagaimana AFP menyukat kemarahan rakyat Malaysia ini kerana, berdasarkan pemerhatian saya dan rakan-rakan yang lain, golongan yang marah dengan pengharaman buku ini sebenarnya hanyalah sebilangan kecil rakyat Malaysia sahaja.
Bandingkan “kemarahan” ini dengan “kemarahan” terhadap G25 sendiri sebelum ini yang saya sedutkan di bawah.
Pada 8 Disember 2015, portal berita Utusan Malaysia melaporkan, di bawah tajuk “Wajar Bertaubat: Boleh Membawa Murtad”, kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, bahawa kumpulan G25 perlu segera bertaubat kerana tindakan ‘cuba’ meminda atau memansuhkan undang-undang syariah yang didakwa bertentangan dengan perlembagaan negara sama seperti menentang hukum Islam dan juga Allah serta boleh membawa kepada murtad. Kata beliau, kumpulan G25 adalah ancaman kepada umat Islam, sambil menambah bahawa umat Islam boleh jatuh kufur sekiranya ‘keluar’ daripada perintah Allah.
Turut dilaporkan mengkritik kumpulan G25 adalah Mufti Kelantan, Datuk Mohammad Shukri Mohammad, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
Pada 9 Disember 2015, portal berita Berita Harian melaporkan, di bawah tajuk “Mansuh Kumpulan G25 - Mufti Kedah”, kenyataan Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad, agar kumpulan G25 dimansuhkan berikutan beberapa isu yang diketengahkan kumpulan tersebut yang tidak masuk akal dan bertentangan dengan agama. Kata beliau, G25 juga perlu segera bertaubat dan kembali ke pangkal jalan berpandukan Al-Quran dan Sunnah memandangkan 'telah mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan hukum Allah SWT.
Pada 9 Disember 2015, portal berita Sinar Harian melaporkan, di bawah tajuk “G25: Suka Sama Suka Pun Tetap Haram”, kenyataan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid, bahawa cadangan kumpulan G25 yang mahu menghalalkan hubungan haram atas nama privasi adalah tidak relevan, tak masuk akal dan salah. Kata beliau, khalwat bukan urusan peribadi individu kerana perbuatan sumbang itu menjelikkan mata sekali gus menggugat keharmonian masyarakat.
Pada 10 Disember 2015, portal berita Sinar Harian melaporkan, di bawah tajuk “Pemuda Minta Kerajaan Siasat G25”, kenyataan Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Mohd Johari Abu Bakar, yang memohon kerajaan membuat siasatan dan mengambil tindakan kepada kumpulan G25 kerana mengeluarkan kenyataan-kenyataan bahaya berbau hasutan yang cuba menyentuh sensitiviti kaum dan agama. Kata beliau, sebolehnya, haramkan G25 terus daripada aktif bergerak. Tindakan mereka ini juga seolah-olah cuba mencabar kedaulatan sultan yang merupakan ketua agama negeri, yang mempunyai kuasa ke atas perkara berkaitan hal ehwal agama Islam, tambah beliau.
Pada 11 Disember 2015, portal berita Free Malaysia Today melaporkan, di bawah tajuk “Rani Kulup Ingatkan Kumpulan G25, Kalau Mati Gali Kubur Sendiri”, tindakan Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) yang diketuai oleh Abdul Rani Kulup membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi terhadap kumpulan G25. Kata beliau, G25 perlu diambil tindakan tegas sebagai pengajaran kepada orang lain agar tidak menghina hukum Allah SWT dan perundangan negara. Beliau juga mencadangkan anggota G25 menggali kubur sendiri jika meninggal dunia ekoran kumpulan terbabit sering mengeluarkan kenyataan bercanggah berkaitan hukum agama.
Pada 11 Disember 2015, portal berita The Malay Mail Online melaporkan, di bawah tajuk “G25 Risks Being Declared Deviant If It Persists With Its ‘Ideologies’, Says Najib’s Religious Adviser”, kenyataan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdullah Mat Zin, bahawa kumpulan G25 boleh dikenakan tindakan dan difatwakan sebagai kumpulan ajaran sesat jika mereka terus menyebarkan fahaman mereka. Kata beliau, G25 berselindung di sebalik “wasatiyyah” dan “maqasid shariah” sedangkan mereka sebenarnya sedang menggambarkan Islam dari sudut yang negatif.
Pada 12 Disember 2015, portal berita The Sun Daily melaporkan, di bawah tajuk “G25 Contradicts Islamic Teaching, Says Delegate”, kenyataan perwakilan UMNO Sabah, Datuk Ariffin Mohd Arif, di dalam Perhimpunan Agung UMNO supaya kerajaan mengambil tindakan terhadap kumpulan G25 kerana tindakan-tindakan mereka yang bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam. Kata beliau, kumpulan G25 mengandungi elemen-elemen ekstremisme dan boleh mendatangkan hukuman Tuhan, bukan sahaja kepada kumpulan itu, tetapi kepada negara juga.
Pada 14 Disember 2015, portal berita Sinar Harian melaporkan, di bawah tajuk “G25 Golongan Yang Terbabas”, kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang membidas “spesies manusia yang mendesak supaya ditiadakan undang-undang hukuman terhadap maksiat bergaul bebas”. Kata beliau, kecederaan terbabas di jalan raya boleh diubat dan dirawat tetapi terbabas melakukan yang haram kalau tidak bertaubat menyebabkan celaka di dunia dan neraka di hari akhirat.
Pada 15 Disember 2015, portal berita Berita Harian melaporkan, di bawah tajuk “Veteran UMNO Lapor Polis Kenyataan G25”, tindakan Veteran UMNO Kelantan (MUBARAK) yang diketuai oleh Datuk Mohd Rozali Isohak dan Datuk Kamaruddin Abdullah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu terhadap kumpulan G25. Kata Datuk Mohd Rozali, “kenyataan G25 berunsur hasutan yang boleh mengganggu ketenteraman umat Islam di negara ini” dan "kenyataan berunsur (hasutan) ini perlu dipandang serius dan tidak boleh dibiarkan kerana ianya boleh merosakan akidah umat Islam di negara ini.”
Pada 19 Disember 2015, portal berita Sinar Harian melaporkan, di bawah tajuk “Polis Akan Panggil Noor Farida”, kenyataan Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye, bahawa polis akan memanggil jurucakap G25, Datuk Noor Farida Ariffin, bagi mendapatkan kenyataan berhubung lima laporan polis yang dibuat terhadap satu forum anjuran G25 yang diadakan di bangunan Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) pada 5 hingga 6 Disember 2015.
Pada 20 Disember 2015, portal berita Sinar Harian melaporkan, di bawah tajuk “PERKASA desak fatwakan G25 sebagai haram”, kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Usul Persidangan Agung PERKASA, Hassan Basri, bahawa Persidangan Agung PERKASA meluluskan usul supaya kerajaan memfatwakan kumpulan G25 sebagai kumpulan sesat susulan terlalu banyak penyerapan fahaman sesat liberalisme dan pluralisme yang semakin berleluasa sehingga mengancam akidah umat Islam. Beliau juga berkata, persidangan itu juga turut mendesak kerajaan bertegas dan mengambil tindakan mahkamah untuk mempertahankan kesucian agama Islam dan tidak tunduk kepada desakan mana-mana pihak yang ada kepentingan.
Kesimpulannya ialah: Hanya dengan meneliti beberapa contoh laporan berita yang disebutkan di atas sahaja sudah cukup untuk kita merumuskan bahawa “kemarahan” terhadap G25 sendiri sebenarnya adalah jauh lebih besar berbanding “kemarahan” terhadap pengharaman buku G25 ini.
Soalnya ialah: Mengapa “kemarahan” terhadap G25 sendiri yang sebenarnya adalah jauh lebih besar berbanding “kemarahan” terhadap pengharaman buku G25 ini tidak mendapat liputan meluas agensi berita antarabangsa seperti AFP berbanding liputan meluas yang diberikan terhadap “kemarahan” terhadap pengharaman buku G25 ini?
Soalnya juga ialah: Apa sudah jadi dengan “kemarahan” umat Islam terhadap G25 ini?
 
Copyright © 2014 PenangKini.