BREAKING NEWS

Tuesday, 22 August 2017

Media sekarang lebih bebas – DS Zahid Hamidi

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, media pada hari ini lebih bebas berbanding ketika negara ditadbir oleh seorang individu yang paling lama menjadi Perdana Menteri suatu ketika dulu.

Walaupun tidak menyebut nama, namun individu yang dimaksudkan Timbalan Perdana Menteri itu dipercayai merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.


Ahmad Zahid berkata, media hari ini tidak dikongkong dan tidak ditentukan agendanya lebih awal berbanding pada zaman itu.

Katanya, perkara itu boleh dilihat hasil daripada dapatan kajian yang dibuat untuk ijazah kedoktoran beliau.

“Secara kebetulan, dalam kajian kedoktoran, saya buat kajian perbandingan antara Berita Ha­rian (BH) sebagai akhbar dengan Utusan Malaysia dalam lima kali pilihan raya di Malaysia di bawah seorang pemimpin paling lama memerintah negara ini.

“Saya lihat fakta yang terpapar dalam kajian itu, sekiranya masih relevan adalah gambaran bahawa penentuan agenda dibuat tidak banyak bergantung kepada pemilik media tetapi ditentukan oleh seseorang itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran Pameran BH Khas Hari Kebangsaan di KL Sentral, di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari; Pengerusi Media Prima Berhad, Tan Sri Ismee Ismail; Pengerusi The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP),Tan Sri Ismail Omar; Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid dan Ketua Pengarang BH, Datuk Mahfar Ali

Yang hadir sama Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menggesa syarikat-syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan syarikat milik kerajaan (GLC) supaya membantu media arus perdana khususnya dari aspek pengiklanan bagi memastikan kelangsu­ngannya mendepani cabaran era baharu.

Katanya, media arus perdana tidak boleh mengharapkan kepada pembelian atau lain-lain kaedah dapatan kerana masih bergantung kepada pengiklanan sebagai sumber.

“Kerana mereka merupakan media yang melaksanakan ke­sederhanaan dalam pendekatan menterjemahkan agenda media dan penentuan agenda, maka saya seru rakan-rakan dalam GLC, MKD dan syarikat berkepentingan kerajaan membantu supaya dapat meneruskan perjuangan dalam dunia persuratkhabaran yang semakin kompetitif,” katanya.



 
Copyright © 2014 PenangKini.