BREAKING NEWS

Monday, 14 August 2017

Mengapa pilih bulu bertindak ke atas kilang haram?




SANGAT menghairankan apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mendakwa kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk menutup kilang haram di Kampung Sungai Lembu, Penanti atas alasan beroperasi di atas ta­nah persendirian.

Ironinya, sebelum ini, di da­erah sama, kerajaan negeri menerusi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bertindak merobohkan sebuah kilang haram membuat bumbung zink.


Kilang itu diambil tindakan di bawah Akta Kesalahan Pemajuan Tanpa Kebenaran Merancang dan kesnya berjaya dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Mac 2015.

Malah, ketika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin membangkitkan mengenai isu kilang haram ini dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau turut merujuk supaya tindakan dapat diambil mengikut Akta 133 (Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974).

Ini bermakna memang terdapat peruntukan undang-undang di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menangani masalah kilang haram berkenaan.

Sementelah, dalam kes kilang pembakaran habuk kayu di Kampung Sungai Lembu, isunya bukan setakat kilang haram tetapi operasinya telah menyebabkan pencemaran alam sekitar yang cukup teruk sehingga dilaporkan ada penduduknya menghidap kanser dan sesak nafas.

Pencemaran kepada air longkang juga merupakan isu kritikal selain terdapat dakwaan sistem pengairan yang dibina tidak sesuai sehingga menyebabkan berlakunya banjir kilat.

Maka, apakah ancaman ke­selamatan kepada lebih 1,000 penduduk di kampung itu sejak hampir 10 tahun kilang habuk kayu tersebut beroperasi masih belum cukup untuk Kerajaan DAP Pulau Pinang mengambil tindakan?

Jawapan Guan Eng kononnya Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak boleh bertindak sedangkan pada masa sama ada kilang lain diheret ke mahkamah hanya menyerlahkan wujudnya pilih kasih dalam penguatkuasaan undang-undang oleh kerajaan negeri.

Tindakan berpilih itu menimbulkan persoalan apakah wujud kaitan atau hubungan istimewa antara pemiliknya dengan Kerajaan DAP Pulau Pinang?

Apakah penahanan Exco DAP Pulau Pinang disebabkan sesuatu yang lebih besar berbanding hanya kerana operasi kilang itu terletak di bawah portfolio jawatankuasanya?

Lebih mengecewakan apabila Kerajaan DAP Pulau Pinang sangat pantas bertindak merobohkan gerai dan menghalau penjaja-penjaja kononnya beroperasi secara haram seperti berlaku di Batu Ferringhi.

Begitu juga sudah berapa ramai penduduk kampung dihalau daripada tanah yang diduduki mereka sejak beberapa keturunan seperti yang berlaku di Kampung Buah Pala, Glugor, kononnya mendiami tanah secara haram.

Tindakan ke atas penjaja dan penduduk kampung itu diambil dengan pantas oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang sepanjang kira-kira lapan tahun pemerintahan mereka.

Adakah gerai dan rumah kampung di tanah haram itu lebih berbahaya kepada penduduk berbanding kilang haram yang bebas melepaskan asap busuk dan mencemarkan air di kampung penduduk?

UTUSAN



 
Copyright © 2014 PenangKini.