BREAKING NEWS

Saturday, 19 August 2017

MIC: Mengapa tidak bertindak bila dana India kononnya dilencongkan?

Pemimpin MIC Vell Paari mempertikaikan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa wang yang diperuntukkan kepada masyarakat India melalui MIC dilencongkan ke “tempat lain”.
Bercakap kepada FMT, bendahari agung MIC itu berkata tidak pernah ada isu mengenai dana dilencongkan sepanjang pemerintahan Dr Mahathir selama 22 tahun dan selepas berundur pada 2002.
“Bagaimanapun, kurang daripada 24 jam selepas Dr Mahathir bertemu Pengerusi Hindraf P Waythamoorthy, tiba-tiba beliau keluarkan kenyataan dana diperuntukkan kepada MIC tetapi dana itu dilencongkan ke tempat lain,” katanya, yang juga anak kepada bekas presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu.

Samy berkhidmat sebagai presiden MIC semasa Dr Mahathier menjawat jawatan perdana menteri dan presiden Umno. Usaha menghubungi Samy untuk mendapatkan komen belum berjaya.
“Kalau betul dana dilencongkan ke tempat lain, mengapa Dr Mahathir tidak ambil tindakan? Tahun lepas, Waythamoorthy sendiri gelar Dr Mahathir diktator.”

Vell Paari berkata Dr Mahathir sudah tentu boleh bertindak terhadap MIC sebelum ini.
Baginya, kenyataan Dr Mahathir itu menunjukkan beliau cuba melaga-lagakan MIC dengan masyarakat India bagi menjana sokongan kepada Hindraf, yang diterajui Waythamoorthy.
“Hindraf mengesahkan mereka boleh memberikan undi kepada Pakatan Harapan. Jadi Hindraf mesti serang MIC untuk mengotakan janji kepada Dr Mahathir. Itu sebenarnya yang berlaku.”
Awal hari ini, dilaporkan Dr Mahathir mengakui masyarakat India tidak mendapat layanan sewajarnya sepanjang 22 tahun pemerintahannya tetapi beliau berkata banyak sumber diperuntukkan kepada masyarakat itu melalui MIC.

“Peruntukan itu pergi ke tempat lain entah bila masa,” katanya. “Tetapi saya harap kali ini mereka akan dapat peruntukan terus daripada kerajaan.”
Bagaimanapun, dakwaan Dr Mahathir itu dinafikan Timbalan Presiden MIC S.K Devamany yang mengatakan bekas perdana menteri itu beri peruntukan “kecil” kepada Samy untuk memperkasakan masyarakat India.

Beliau berkata pada zaman Dr Mahathir, semua peruntukan kerajaan disalurkan melalui kementerian dan agensi bertanggungjawab, bererti peruntukan tidak terus diberikan kepada rakyat, tidak seperti dibawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Devamany berkata Najib merentas birokrasi dan menyalurkan dana terus kepada masyarakat India untuk memperkasakan mereka, termasuk memberikan peruntukan kepada NGO.
Devamany mengambil contoh RM300 juta dalam bentuk bantuan yang diberikan kepada sekolah Tamil pada 2010, ratusan juga pinjaman diperuntukkan kepada masyarakat India melalui program TEKUN Nasional dan Sekretariat Khas Untuk Memperkasakan Usahawan India (SEED),
“Semasa zaman Dr Mahathir, Jabatan Kerja Raya (JKR) mengawal pembinaan sekolah Tamil, tetapi Najib membenarkan kontraktor India menyertai dan membina sekolah.”

Beliau mendakwa Najib turut mempertingkatkan pemilikan ekuiti masyarakat India dari 1.1% kepada 1.9% sejak menjadi perdana menteri, dan menambah Najib meningkatkan kuota pelajar India dalam Program Matrikulasi Malaysia dan sekolah politeknik.

“Ini bagaimana caranya Najib memperkasakan masyarakat India dan beliau mengukuhkan usaha itu melalui Pelan Tindakan Untuk Masyarakat India.
“Dr Mahathir tidak pernah berikan harapan kepada orang India. Tiada harapan untuk masyarakat kami di bawah Dr Maahthir. Tetapi Najib berikan harapan kerana beliau inklusif, tidak seperti Dr Mahathir.”

Semalam, Dr Mahathir, yang juga pengerusi Pakatan Harapan, bertemu Waythamoorthy untuk memungkinkan gabungan pembangkang itu menyertakan satu lagi komponen menuju pilihan raya umum ke-14.

Sumber _ FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.