BREAKING NEWS

Sunday, 27 August 2017

Najib: Sebab Putrajaya tolak projek tambak laut Pulau Pinang

BALIK PULAU: Kerajaan Persekutuan tidak akan menyokong projek tambakan laut di Pulau Pinang sekiranya ia akan memberi kerugian yang besar sehingga menjejaskan punca pendapatan rakyat di kawasan terlibat.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan persekutuan mempunyai pendirian dalam meluluskan sesuatu projek dan bukanlah menolak semata-mata atas dasar fahaman politik.
“Projek tebus tanah seluas 4,500 ekar (1,800 hektar) yang hendak dilaksanakan kerajaan negeri, saya kira projek seperti ini mesti penuhi syarat-syarat, saya tidak mahu pendirian kerajaan persekutuan disalah erti semata-mata atas dasar atau motif politik.
“Kita menolak sesuatu cadangan kerajaan negeri bukan kerana kerajaan negeri daripada parti pembangkang, ini bukan pendirian kita,” ucap beliau pada majlis Jamuan Rakyat anjuran Umno Bahagian Balik Pulau di Politeknik Balik Pulau di sini, hari ini.
Beliau berkata, buktinya, banyak projek pembangunan telah dibawa ke Pulau Pinang walaupun ia di bawah kepimpinan parti pembangkang.

Najib berkata antara kriteria utama yang mesti dipertimbangkan sebelum meluluskan sesuatu projek pembangunan ialah sebarang projek mestilah tidak memberi impak dan kerugian yang besar kepada masyarakat setempat, mesra dan lestari alam serta menjimatkan perbelanjaan rakyat.
“Dalam hal ini (projek tambakan laut) 1,500 nelayan, kalau jalankan projek ini, ibarat mencampak pasir ke dalam periuk nasi nelayan, (jadi) tidak patut dilaksanakan.
“(Jadi) Nelayan jangan bimbang, kalau merugikan rakyat, kerajaan persekutuan tidak akan sokong (projek tambak laut),” katanya.
Kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan pelaksanaan projek tambakan laut seluas kira-kira 1,800 hektar di Permatang Damar Laut di sini bernilai RM46 bilion bagi membina 3 pulau buatan untuk tujuan pembangunan.
Dalam perkembangan lain, Najib berkata Barisan Nasional (BN) yakin akan dapat mempertahankan kerusi Parlimen Balik Pulau dan 3 kerusi Dewan Undangan Negeri dalam parlimen berkenaan pada pilihan raya umum akan datang.
“Saya yakin rakyat Balik Pulau sudah tahu bagaimana untuk pilih dan gunakan kuasa apabila sampai masanya.
“Di peringkat pusat kita tahu kita mesti baca isi hati orang sini, dalam pilih calon, mesti sesuai dengan isi hati rakyat Balik Pulau,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.