BREAKING NEWS

Wednesday, 23 August 2017

Noh Cabar Azmin Debat Isu Pengurusan Projek PPR

FW614414_SG02_200817_PENYERAHAN_KUNCI-scr.JPG
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar hari ini mencabar Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk berdebat mengenai pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Beliau berkata cabaran itu dibuat kerana sejak akhir-akhir ini kerajaan negeri Selangor dan Mohamed Azmin sering mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan termasuk menyalahkan kerajaan pusat berhubung masalah PPR di negeri itu.
"Kita boleh debat atau bincang dalam forum tentang perkara ini. Cari pihak berkecuali sebagai penganjur, ketepikan isu politik kepartian dan kita bincang berdepan dan bukan hanya cakap di luar. Lihat siapa yang betul-betul nak bela rakyat," kata beliau.
Cabaran itu dibuat Noh sewaktu berucap pada Majlis Ramah Mesra dan Penyerahan Kunci PPR Lembah Subang Semalam.
Antara tindakan yang dipersoalkan Noh adalah kenyataan Mohamed Azmin yang mendesak Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjual unit-unit di PPR Lembah Subang 1 yang baru diambil alih KPKT daripada kerajaan negeri Selangor.
"Dia (Mohamed Azmin) ungkit kalau dikira sewa rumah itu dari hari pertama disewa sampai sekarang sepatutnya dah beri percuma rumah kepada rakyat Lembah Subang 1.
"Saya nak tanya kepada Menteri Besar, kenapa dia tak umum sebelum ini (sewaktu kerajaan negeri mengurus PPR Lembah Subang 1), sebaliknya mereka naikkan lagi sewa daripada RM 124 kepada RM 250, hingga menekan lagi rakyat? Sebab itu kita ambil alih PPR Lembah Subang 1 yang rumahnya kita bina dan tanahnya milik kita," kata Noh.
Pada majlis itu, sebanyak 596 peserta Skim Sewa Untuk Milik kelolaan kementerian itu yang terpilih daripada 9,000 permohonan menerima kunci kediaman masing-masing.
 
Copyright © 2014 PenangKini.