BREAKING NEWS

Tuesday, 8 August 2017

PCM: COO Rapid Penang ikut jejak Guan Eng


Dakwaan 41 tuduhan rasuah terhadap Ketua Pegawai Operasi (COO) Rapid Penang hari ini di Mahkamah Sesyen Kuantan melengkapkan drama bersiri bahawa Kerajaan Pulau Pinang yang diketuai DAP adalah sebuah negeri rasuah.
Menurut Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan, sebelum ini negeri itu sudah dikenali sebagai sebuah negeri hub pemprosesan dan pengedaran dadah antarabangsa, kegiatan jenayah berat, sarang maksiat dan pelacuran berdasarkan kepada kes jenayah yang dibongkar oleh pihak berkuasa.
“Siang tadi, Shukri Abdul Rahman berdepan tuduhan di Mahkamah Sesyen Kuantan berjumlah RM438,418.91 yang diterimanya dari empat buah syarikat bermula 2013 sehingga 2017.
“Shukri dilihat mengikuti jejak langkah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang tidak mengaku bersalah atas dua pertuduhan rasuah, demikianlah juga Shukri apabila pertuduhan dibacakan,” kata beliau, dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau  menghadapi 10 pertuduhan menerima suapan tunai berjumlah RM31,500 dari Alexander Dennise (M) Sdn Bhd sebagai dorongan membantu syarikat tersebut memperoleh kontrak pembekalan 80 bas setingkat dan 40 bas dua tingkat.
Selain dari itu, beliau juga didakwa dengan tiga pertuduhan menerima suapan  tunai RM300,000 dari Jayonik MSC Sdn Bhd bagi projek ‘Develop, Design, Manufacture, Supply, Delivery, Installations, Testing, Commissioning and Warranty of Bus Simulator System for Prasarana’ yang dianggar bernilai RM8 juta.
Pertuduhan lain yang dihadapi oleh Shukri adalah 13 pertuduhan menerima suapan tunai berjumlah RM74,000 dari  Nato Auto & Engineering Sdn Bhd sebagai imbalan meluluskan pembayaran bagi pembekalan alat ganti bas.
Shukri juga didakwa atas tujuh pertuduhan lain menerima suapan dari  syarikat yang sama dalam bentuk pembaharuan insurans kenderaan dan pembayaran cukai jalan bagi kenderaan milik peribadinya berjumlah RM13,057 sebagai imbalan  meluluskan pembayaran bagi pembekalan alat ganti bas.
Suapan tunai berjumlah RM19,861.91 yang diperolehi oleh Shukri dari Yon Ming Auto & Industrial Park Sdn Bhd  dibalas dengan lapan pendakwaan rasuah sebagai imbalan meluluskan bayaran bagi  kerja-kerja pembekalan alat ganti bas.
Kesemua 41 pertuduhan rasuah tersebut dilakukan antara 2013 hingga tahun ini, di Pekan dan Kuantan.
Shukri didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi  20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan 4 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini Shukri juga didakwa di Mahkamah Sesyen, Pulau Pinang atas satu pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM70,000 daripada syarikat Jayonik MSC Sdn Bhd pada 2015.
 
Copyright © 2014 PenangKini.