BREAKING NEWS

Tuesday, 22 August 2017

Penduduk Sungai Lembu sudah lama bantah kilang haram


Parti Gerakan negeri hari ini mendedahkan surat bantahan penduduk berhubung operasi kilang haram di Sungai Lembu, Penanti yang diabaikan Kerajaan DAP Pulau Pinang.


Oh Tong Keong
Naib Pengerusi Gerakan ne­geri, Oh Tong Keong berkata, terbaharu pihaknya menemukan surat bantahan daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Ke­selamatan Kampung (JKKK) yang dihantar ke Pejabat Ketua Menteri, Lim Guan Eng pada 25 September tahun lalu.


Menurutnya, berdasarkan surat yang mempunyai petisyen daripada 179 penduduk di situ, pegawai Guan Eng menurunkan cop rasminya pada 4 Oktober 2016 sebagai bukti penerimaan dan sudah membaca kandungan yang ditulis penduduk tentang kebimbangan mereka terhadap pencemaran alam sekitar.

“Orang kampung sudah beri surat itu hampir setahun lepas tetapi kenapa tiada tindakan penguatkuasaan kerajaan ne­geri, adakah sebab kilang ini ada kepentingan kepada mana-mana individu sampai perlu memilih mana yang kena diambil tindakan dan mana yang tidak?

“Sewaktu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pe­nanti, Dr. Norlela Ariffin membangkitkan isu ini, Guan Eng seperti tidak mengetahuinya dan tindakan itu sungguh pelik kerana beliau sebelum itu telah menerima surat penduduk,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Isu kilang haram yang didakwa kebal daripada penguatkuasaan itu telah menggemparkan negara baru-baru ini kerana ia dibiarkan beroperasi sejak sekian lama termasuk oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Susulan itu, akhbar ini mendedahkan terdapat 13 penduduk di kawasan berkenaan dilaporkan menghidapi barah dipercayai akibat pencemaran kilang memproses habuk kayu yang telah ber­operasi sebelum 2008.

Walau ba­gai­ma­na­pun, kerajaan ne­ge­ri di­lihat te­rus berkeras ke­pala dengan me­nyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang­ didakwa tidak membanteras operasi kilang itu semasa pemerintahan mereka di ne­geri ini.

Mengulas lanjut, Tong Keong menyelar pimpinan Guan Eng yang disifatkan sebagai buntu mencari alasan untuk mengaburi mata rakyat sedangkan Kerajaan DAP Pulau Pinang beberapa kali menutup dan merobohkan bangunan haram termasuk rumah ibadat yang ditinggalkan kerajaan sebelum ini.

“Kerajaan negeri dilihat ha­nya memilih dan tidak akan me­ngenakan sebarang tindakan penguatkuasaan kepada bangunan haram yang menguntungkan mereka seperti kilang di Penanti dengan polisi 'sembunyi' yang tidak pernah diwartakan iaitu melalui budi bicara,” dakwanya.



Enam bangunan haram yang dirobohkan

1. Kuil Hindu di Tanjung Bungah (2008)

2. Tokong Kim Sua Pek Kong di Kampung Simpah (2009)

3. Pusat Penjaja di Alma (2015)

4. Tokong di tengah Bukit Mutiara (2015)

5. Pusat penjaja di Greenlane (2016)

6. Tokong di Puncak Bukit Mutiara (2016)

** dipercayai banyak lagi bangunan haram yang dirobohkan secara konsep pilihan



 
Copyright © 2014 PenangKini.