BREAKING NEWS

Monday, 28 August 2017

'Peneroka Felda jangan makan hasutan pembangkang'

Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad hari ini mengingatkan para peneroka supaya tidak mudah termakan hasutan pembangkang berhubung isu penyerahan geran tanah sebagai syarat untuk menerima intensif khas bernilai RM5,000 bagi setiap peneroka Felda.

Shahrir dalam nada kesal menegaskan, khabar angin tentang penyerahan geran tanah itu sama sekali tidak benar dan disebarkan oleh pembangkang dalam usaha mengelirukan peneroka.

"Peneroka tidak perlu menyerahkan geran tanah untuk mendapatkan insentif khas peneroka negeri yang disalurkan oleh kerajaan pusat. Kenyataan untuk serah geran tanah adalah fitnah yang dijual pembangkang di Felda Air Tawar 2.

"Mereka (pembangkang) hanya muncul membawa khabar angin dan mahu memburuk-burukkan Felda kerana terdesak berikutan pilihan raya umum (PRU) yang semakin hampir," katanya berucap pada majlis penyerahan Replika Cek Insentif Khas Peneroka Negeri Johor di Felda Taib Andak, di Johor hari ini

Sehubungan itu, Shahrir mengingatkan para peneroka supaya tidak mudah percaya dan terpengaruh dengan cerita yang tidak betul selain yakin dengan Felda.

"Pembangkang ini terdiri daripada orang-orang yang keliru dan tidak memahami Felda dan bila mereka keliru, mereka cuba menghasut peneroka untuk ikut keliru dengan mereka selain menimbulkan isu-isu yang tidak masuk akal.

Sekiranya peneroka masih menjual hasil mereka menerusi Felda, walaupun mengerjakan kebun sendiri, setiap peneroka layak menerima insentif khas bernilai RM5,000," katanya.

Insentif berkenaan merupakan satu daripada enam insentif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa sambutan Hari Peneroka Felda 2017 peringkat kebangsaan di Putrajaya, 23 Julai lepas.

Jelas Shahrir, seramai 24,628 peneroka seluruh negeri Johor layak menerima insentif yang keseluruhanya bernilai RM123.14 juta.

"Insentif tersebut akan diberikan secara berperingkat mulai minggu akhir bulan ini.

"Saya juga bercadang untuk memberikan insentif tambahan sebanyak RM5,000 kepada peneroka-peneroka Felda yang tidak berhutang, kerana kita mesti menghargai mereka tetapi perkara ini masih dalam peringkat perbincangan," jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sama ada beliau masih akan bertanding pada PRU ke-14 akan datang, Shahrir berkata beliau telah dicalonkan oleh Najib untuk terus bertanding, namun, beliau enggan memaklumkan sama ada mahu menerima pencalonan tersebut.

"Saya ada dengar Penasihat DAP Lim Kit Siang mahu bertanding di Parlimen Johor Bahru nanti. Jadi tunggulah PRU, kalau saya jawab hari ini, esok sudah tiada berita," katanya.

Jumaat lepas, ketika merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Johor Bahru, Najib berkata Shahrir masih layak menjadi calon.

Beliau berkata 'Shahrir Factor' menjadi antara faktor parlimen tersebut terus kekal di bawah Umno dan Barisan Nasional (BN).

Shahrir sebelum ini dilaporkan tidak akan bertanding pada PRU akan datang bagi memberi laluan kepada pemimpin yang lebih muda
 
Copyright © 2014 PenangKini.