BREAKING NEWS

Tuesday, 15 August 2017

Penjelasan Naib Presiden PKR mengenai Kunjungan Pimpinan PKR Ke Atas Presiden PAS Makin Memanaskan Pemimpin Amanah - Dr. Kamarul Zaman Yusoff


Ramai yang tersenyum membaca penjelasan Naib Presiden PKR, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, di dalam portal berita Antara Pos hari ini mengenai kunjungan beliau bersama-sama Presiden PKR yang juga Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan Timbalan Presiden PKR yang juga Naib Presiden merangkap Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan, Datuk Seri Azmin Ali, ke atas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, malam tadi.
Tatkala menafikan bahawa kunjungan malam tadi dirancang selepas Datuk Seri Azmin dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan atau ia ada kaitan dengan politik, Prof Dr Shaharuddin juga dilaporkan tidak menolak kunjungan malam tadi adalah permulaan yang positif untuk kedua-dua pihak mencari persefahaman dalam mendepani PRU 14.
Lebih jauh lagi, Prof Dr Shaharuddin juga menyatakan betapa memang hasrat PKR dengan PAS supaya tidak putus dalam pilihan raya walaupun sudah putus tahaluf siyasi. Tegas Prof Dr Shaharuddin: "Kalau boleh kita nak ada persefahaman, sama ada 'eloctoral pact', taawun. Kita akan lakukan apa saja untuk pastikan satu lawan satu."
Secara mudahnya, gambaran yang diberikan oleh Prof Dr Shaharuddin melalui kenyataan beliau ini adalah kunjungan malam tadi tidak membincangkan apa-apa isu politik secara spesifik tetapi ia adalah permulaan yang positif kepada usaha PKR untuk mencari persefahaman politik dengan PAS dalam PRU 14 kerana PKR akan lakukan apa saja untuk pastikan tidak berlaku pertandingan tiga penjuru antara PAS, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.
Kenyataan Prof Dr Shaharuddin ini sekali gus menguatkan lagi kenyataan Datuk Seri Azmin dalam portal berita Antara Pos semalam mengenai kesediaan Pakatan Harapan untuk berunding dengan PAS dalam mendepani PRU 14 supaya tiada pertembungan sesama pembangkang.
Malah, lebih jauh lagi, kenyataan Prof Dr Shaharuddin bahawa PKR akan lakukan apa saja untuk pastikan tidak berlaku pertandingan tiga penjuru antara PAS, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional adalah lebih besar implikasinya berbanding kenyataan Datuk Seri Azmin semalam.
Kenyataan Prof Dr Shaharuddin ini, dan kenyataan Datuk Seri Azmin semalam, jelas menunjukkan bahawa kebimbangan yang diutarakan oleh Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa, sewaktu merasmikan Konvensyen AMANAH Kelantan Kali Ke-2 di Salor semalam supaya AMANAH tidak dipinggirkan oleh PKR, atau PPBM, memang berasas.
Imbas kembali kata-kata Datuk Husam semalam: "Ya, lama demo nak gi susun dengan orang lain, tempat kawe demo beri kokrang, misalan. Kerana nak berpakat. Hak demo? Hak demo tak terusik. Tak leh la lagu tu..."
Malah, Datuk Husam, dalam ucapan sama, menyebut mengenai betapa tidak wajarnya mana-mana pihak di dalam Pakatan Harapan untuk berunding dengan PAS dalam menghadapi PRU 14 atas kaedah tertentu yang beliau berikan.
Sehubungan itu, bila kedua-dua Datuk Seri Azmin dan Prof Dr Shaharuddin terus-terusan mengumumkan hasrat mereka untuk berunding dengan PAS maka sudah tentulah ini akan menyebabkan AMANAH berada dalam keadaan yang cukup terdesak sekali.
Bila Prof Dr Shaharuddin menyatakan bahawa PKR akan lakukan apa saja untuk pastikan tidak berlaku pertandingan tiga penjuru antara PAS, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, orang ramai tidak boleh tidak akan menyimpulkan bahawa "apa saja" ini adalah merujuk kepada "peminggiran AMANAH".
Disebabkan kewujudan AMANAH adalah untuk menggantikan tempat PAS dalam Pakatan Harapan maka sudah tentulah tiada sebarang persefahaman politik antara mana-mana pihak dengan PAS boleh dibuat tanpa menjejaskan kepentingan AMANAH dari segi pembahagian kerusi.
Dengan sebahagian kerusi yang PAS tandingi dalam PRU 14, khususnya yang dimenangi oleh UMNO, adalah menjadi sasaran PPBM untuk ditandingi, AMANAH tidak dapat tidak hanya boleh memfokuskan diri untuk bertanding di kerusi yang PAS pernah tandingi dan menangi sahaja.
Jika diadakan persefahaman politik dengan PAS maka sudah tentulah PAS akan dibenarkan untuk bertanding di kerusi yang pernah ia tandingi dan menangi, yang juga menjadi sasaran AMANAH, jadi bila ini berlaku di manakah relevannya lagi kewujudan AMANAH?
Perkara ini diperkuatkan lagi oleh kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, hari ini mengenai tiga senario yang boleh berlaku dalam PRU 14 di mana ketiga-tiga senario ini meletakkan bahawa DAP dan PKR akan bertanding di semua kerusi yang mereka tandingi dalam PRU 13 manakala semua kerusi yang PAS tandingi dalam PRU 13 akan ditandingi oleh AMANAH dan PPBM, sekali gus menjadi indikasi bahawa parti yang akan terjejas jika persefahaman politik dengan PAS dibuat ialah bukan PKR, tetapi AMANAH.
Saya sesungguhnya amat bersimpati dengan nasib yang sedang menimpa AMANAH sekarang, apatah lagi bila Perjanjian Pakatan Harapan jelas memperuntukkan bahawa tiada mana-mana parti dalam Pakatan Harapan yang boleh berunding secara bersendirian dengan parti yang tidak menganggotai Pakatan Harapan tanpa dimaklumkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan terlebih dahulu.
Soalnya sekarang ialah apakah kenyataan Datuk Seri Azmin dan Prof Dr Shaharuddin mengenai hasrat mereka untuk berunding dengan PAS ini telah dimaklumkan kepada, dan mendapat persetujuan daripada, Majlis Presiden Pakatan Harapan?

 
Copyright © 2014 PenangKini.