BREAKING NEWS

Thursday, 3 August 2017

PINDAAN KAWALAN HARGA DAN ANTIPENCATUTAN 2017 LULUS DI DEWAN RAKYAT




Persidangan Dewan Rakyat semalam meluluskan Rang Undang-Undang Kawalan Harga dan Antipencatutan (Pindaan) 2017 yang bertujuan menggalakkan ketelusan dalam pempameran, pengiklanan atau sebutan harga atau caj.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pindaan akta itu membolehkan kerajaan melaksanakan Dasar Harga Terangkum (DHT) yang memastikan pengguna tidak dikelirukan atau dimanipulasi oleh peniaga termasuk peniaga dalam talian.
"Biarlah harga yang dipamerkan peniaga tidak berubah lagi. Saya tidak mahu lagi melihat ada peniaga yang cuba menipu dan melakukan muslihat dalam pengiklanan mereka," katanya semasa menggulung perbahasan rang undang-undang itu hari ini.
Rang undang-undang itu dibentangkan semalam dan diluluskan hari ini selepas mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat menerusi undian suara.
Pindaan antara lain memperuntukkan mana-mana pertubuhan perbadanan yang melanggar peruntukan seksyen baharu itu boleh didenda dengan penalti am mengikut seksyen 57 akta sedia ada, tidak melebihi RM100,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, tidak melebihi RM250,000.
Bagi pihak yang bukan suatu pertubuhan perbadanan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Dalam penggulungannya, Hamzah berkata pindaan itu tidak menghalang peniaga menawarkan potongan harga kepada pembeli berdasarkan harga yang dipamer.
Terdahulu semasa perbahasan, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) mencadangkan agar diwujudkan aplikasi khas untuk pengguna menyalurkan aduan secara terus kepada kementerian serta meningkatkan penguatkuasaan undang-undang.
Anuar Abd Manap (BN-Sekijang) pula mencadangkan agar kementerian mengeluarkan garis panduan mengenai harga patut bagi produk makanan di kedai makan atau restoran mengikut harga pasaran bagi memudahkan pengguna membuat pilihan dan mengetahui harga yang sepatutnya dibayar.
Pada persidangan hari ini, Dewan turut meluluskan Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2017.
 
Copyright © 2014 PenangKini.