BREAKING NEWS

Sunday, 13 August 2017

PKR P Pinang jarakkan diri dari Norlela

PKR Pulau Pinang menjauhkan diri daripada ADUN Penanti, Dr Norlela Ariffin yang mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mengambil tindakan terhadap isu kilang haram di Seberang Perai.

Ucapan penghargaan itu disiarkan di Facebook selepas Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang, Phee Bon Poh ditahan SPRM Jumaat lalu kerana disyaki melakukan salah guna kuasa.

Beberapa pemimpin PKR memberitahu Malaysiakini bahawa mereka memahami tindakannya mengadu mengenai kilang haram itu kepada SPRM bagi pihak penduduk.

"Tetapi dia keterlaluan apabila mengucapkan terima kasih kepada SPRM yang hanya mensasarkan pembangkang dan ikan bilis, bukan jerung besar seperti yang terlibat dalam skandal 1MDB," kata salah seorang pemimpin PKR.

Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Dr Mansor Othman pada awalnya enggan mengulas mengenai perkara itu tetapi akhirnya berkata parti itu berdiri di belakang DAP.

Bagaimanapun katanya PKR tidak akan mengambil tindakan terhadap Norlela yang dilihat pengkritik cuba mewujudkan perpecahan antara DAP dan PKR di Pulau Pinang.

"Kami menegaskan bahawa parti ini di Pulau Pinang adalah bersama kerajaan negeri.

"Kami berasa sedih dengan apa yang telah berlaku kepada Phee dan melihat tindakan ini oleh SPRM sebagai penganiayaan terpilih terhadap pembangkang.

"Apa pun yang dibangkitkan Norlela dilakukan atas kapasitinya sebagai ADUN Penanti," katanya.

Mansor berkata demikian ketika ditemui selepas ceramah Pakatan Harapan di Permatang Pauh tengah malam tadi.


 
Copyright © 2014 PenangKini.