BREAKING NEWS

Thursday, 24 August 2017

Prasarana Laksana 'Misi Mulia'



MAKKAH: Pengalaman melihat lautan manusia berpakaian ihram putih antara kenangan istimewa kumpulan petugas tren haji, Al Mashaaer Al Mugaddassah Makkah Metro - Southern Line (MMMSL) , di sini.

Bagi Kapten MMMSL, Hafizi Ali, yang sudah tiga tahun berkhidmat di Arab Saudi di bawah Prasarana Integrated Management & Engineering Services (PRIME) menyatakan cukup sebak melihat jutaan umat Islam dari seluruh dunia berkumpul di Arafah pada hari wukuf.

"Bila tiba hari wukuf, pasti rasa sayu melihat jutaan 'Tetamu Allah' berkumpul di Arafah, manakala kita membantu membawa mereka ke lokasi bagi menunaikan ibadah masing-masing. Ketika melihat lautan manusia itu, terdetik dalam hati betapa yakinnya kita terhadap kewujudan Allah.

"Timbul juga rasa insaf... begini agaknya keadaan kita apabila dibangkitkan semula pada hari kiamat sebelum dikumpulkan di Padang Masyar. Tiada beza kita sesama manusia ketika itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui BH di Fasiliti Penyelenggaraan dan Baikpulih (RMS) Depoh MMMSL di Al-Abdiya, di sini sebentar tadi.

Dibina China Railway Construction Corporation (CRCC), MMMSL yang dikendalikan Prasarana sejak 2015 adalah komponen logistik terpenting bagi mempermudahkan pergerakan 3.5 juta pada setiap musim haji.

MMMSL juga sebahagian daripada inisiatif Arab Saudi dalam meningkatkan tahap keselamatan jemaah haji, khususnya membabitkan pergerakan pada hari wukuf susulan beberapa insiden rempuhan yang berlaku sebelum itu.

Bagi Hafizi, penugasannya dalam pengendalian tren haji berkenaan dianggap sebagai satu ibadah, khusus dalam menjamin keselamatan dan keselesaan 'Tetamu Allah'.

"Ia satu 'misi mulia' yang belum tentu peluang seumpamanya dapat kita peroleh tanpa izinNya," katanya.

Bagi rakan setugas Hafizi, Mohd Rizal Mustapha, bertugas di Tanah Suci memberi pengalaman cukup bermakna, malah pasti tidak dapat dilupakannya sepanjang hayat, lebih-lebih lagi peluang itu sukar diperoleh.

"Ini bukan sekadar satu pekerjaan tetapi lebih kepada ibadah... kita membantu 'Tetamu Allah' menunaikan ibadah mereka. Inilah yang dinamakan pengalaman sepanjang hayat, lebih-lebih lagi peluang itu bukan sesuatu yang mudah untuk diperoleh," katanya.

Mohd Rizal juga berharap agar Prasarana terus diberikan kepercayaan oleh Arab Saudi bagi mengendalikan perkhidmatan tren berkenaan berdasarkan prestasi memberangsangkan kumpulan petugasnya sejak dua musim haji sebelum ini.-Berita Harian
 
Copyright © 2014 PenangKini.